Translate

15 October 2024

Tanah runtuh Taman Melawati: Lebih 300 penduduk dipindah ke dewan serba guna - Polis



Tanah runtuh Taman Melawati: Lebih 300 penduduk dipindah ke dewan serba guna - Polis

Astro Awani

15/10/2024


Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu turut mengakibatkan laluan utama ke perumahan terbabit terputus selain sebuah kenderaan mengalami kerosakan. - Bernama


AMPANG JAYA : Kira-kira 300 penduduk melibatkan 20 rumah diarah mengosongkan kediaman mereka berikutan insiden runtuhan tanah yang berlaku di lereng bukit di Jalan E6 Taman Melawati, akibat hujan lebat, pada Selasa.

Kesemua mereka diarahkan berpindah ke dewan serba guna berhampiran di Jalan E5, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu turut mengakibatkan laluan utama ke perumahan terbabit selain sebuah kenderaan mengalami kerosakan.

"Ia juga melibatkan kerosakan sebuah kabin pondok pengawal yang terbalik akibat runtuhan. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dsalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Mohd Azam memberitahu, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berada di tempat kejadian bagi mengawal keadaan dan mengarahkan penduduk berpindah dari kawasan terjejas itu.

Terdahulu, kejadian tanah runtuh itu tular di media sosial melalui video singkat yang menunjukkan tanah runtuh berlaku berdekatan kawasan perumahan penduduk.

Insiden itu berlaku dipercayai akibat hujan lebat selain aliran air deras dari bukit yang menyebabkan tanah runtuh dan beberapa pokok tumbang.

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI mendapati, penduduk cemas melihat aliran air yang jatuh dari lereng bukit semakin deras bermula sekitar jam 11.30 pagi.

Dalam pada itu, Ketua Zon 4 (Hulu Langat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Penguasa Kanan Bomba Shahrin Yusmar Mat Yusof, memaklumkan pihaknya dan polis berusaha mengurangkan impak tanah runtuh di kawasan perumahan berhampiran.

“Operasi merendahkan risiko di kawasan sekitar kejadian tanah runtuh di lorong E6 Taman Melawati sedang giat dilakukan ketika ini. Setakat ini keadaan masih terkawal,” katanya.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu pada jam 11.42 pagi.

"Sebaik menerima maklumat, pihak JBPM mengerahkan enam pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang ke lokasi kejadian,” katanya.

Bomba dalam satu kenyataan memaklumkan tanah runtuh berlaku di lereng bukit berkeluasan 20x20 meter serta runtuhan setinggi 30 meter.



Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED