Translate

04 October 2024

Sultan Selangor perkenan fatwa berkaitan fahaman, ajaran, pegangan dan amalan GISB



Sultan Selangor perkenan fatwa berkaitan fahaman, ajaran, pegangan dan amalan GISB

Bernama

04/10/2024



Keputusan hasil mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 30 Sept 2024 disembah maklum kepada Sultan Selangor untuk diperkenankan, oleh Anhar, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam. - Facebook Selangor Royal Office

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa terkini yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Selangor Royal Office dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah, atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Feb 1993.

Menurut kenyataan itu, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang juga Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir telah menyembah maklum hasil mesyuarat khas jawatankuasa berkenaan kepada Sultan Sharafuddin pada 30 Sept lepas di Istana Bukit Kayangan di sini.

Jawatankuasa itu turut memutuskan bahawa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISB dan rangkaiannya mempunyai ciri-ciri yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah daripada aspek akidah serta syariat.

"Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baharu yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah," katanya.

Menurut kenyataan itu, butiran lanjut mengenai fatwa terkini berkenaan akan dihurai oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Pada 20 Sept lepas, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISB dan rangkaiannya dan menitahkan agar semua rumah amal serta sekolah Islam di bawah kawalan organisasi itu yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarahkan tutup dengan segera selain tidak dibenarkan beroperasi di negeri itu.

Ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan kanak-kanak yang terlibat terus dianiaya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED