Politik stabil, dasar kerajaan tarik minat syarikat global melabur di Malaysia - Gobind
Bernama
04/10/2024
Gobind berucap merasmikan Biz Day 2024 di Festival Kandungan Digital Malaysia Biz Day 2024 di Kuala Lumpur, 3 Okt 2024. - Foto MDEC
KUALA LUMPUR: Kestabilan politik dan dasar kerajaan MADANI yang meyakinkan terbukti berjaya menarik syarikat-syarikat teknologi besar global untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.
Kestabilan politik dan dasar kerajaan MADANI menarik pelaburan besar, mencipta 25,498 pekerjaan pada separuh pertama 2024.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pada masa ini terdapat banyak perbincangan, tidak hanya antara syarikat-syarikat di negara serantau malah dunia berhubung perkara itu.
"Memang kalau nak sebut secara khusus, saya tidak boleh namakan sekarang kerana dalam proses perbincangan sehingga mencapai persetujuan dan disusuli dengan pengumuman rasmi.
"Saya yakin akan ada lebih banyak pengumuman pelaburan, bukan sahaja dalam bidang pusat data dan pengkomputeran awan, tetapi bidang lain di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Biz Day 2024 di Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF) Biz Day 2024 di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Kementerian Digital juga yakin dapat memperoleh lebih banyak pelaburan digital pada separuh kedua tahun ini selepas mencatat RM66.22 bilion pada separuh pertama tahun ini.
Jumlah itu mengatasi RM46.2 bilion yang dicapai bagi keseluruhan 2023, disokong oleh dasar mesra perniagaan Kerajaan MADANI.
Pelaburan tersebut juga telah mencipta 25,498 peluang pekerjaan bagi tempoh separuh pertama 2024, mengatasi 22,258 bagi tempoh sama tahun lepas.
Selain itu, Gobind turut menyambut baik pengumuman Oracle pada Rabu untuk melabur dalam dalam sektor kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan Malaysia yang disifatkannya sebagai satu petanda baik serta bukti keyakinan pelabur asing terhadap negara ini.
"Ini langkah amat baik dan kita akan terus berusaha menarik pelaburan dari serata dunia, meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama untuk diterokai industri antarabangsa jika mahu melabur di rantau ini.
"Saya juga berharap usaha ini dapat mengukuhkan lagi ekonomi kita dalam mencapai kemajuan di masa depan," katanya.
Selain pelaburan syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft dan Google sebelum ini, Oracle telah mengumumkan pembukaan pusat pengkomputeran awan awam pertamanya di Malaysia dengan pelaburan bernilai US$6.5 bilion.
Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantarannya di platform X berkata keseluruhan projek diumumkan oleh syarikat itu sehingga kini melibatkan pelaburan yang dianggarkan bernilai US$16.9 bilion (RM70.3 bilion).
-- BERNAMA