Translate

16 October 2024

Sultan Nazrin berangkat hadiri majlis santapan tengah hari bersama PM Wong



Sultan Nazrin berangkat hadiri majlis santapan tengah hari bersama PM Wong

Bernama

16/10/2024


Sultan Nazrin Shah (kiri) berjabat tangan dengan Lawrence Wong semasa baginda berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Tengah Hari yang dihoskan Perdana Menteri Singapura itu di Istana, Singapura, pada Selasa. - Gambar Facebook Lawrence Wong

SINGAPURA: Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Tengah Hari yang dihoskan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di Istana, di sini, pada Selasa.

Wong berkata, beliau dan Sultan Nazrin mengadakan perbincangan yang meluas mengenai perkembangan global, masa depan ASEAN dan hubungan Singapura-Malaysia.

"Gembira dapat bertemu kembali dengan baginda sejak pertemuan terakhir kami pada 2022. Sebagai jiran rapat, Singapura dan Malaysia, termasuk Perak, berkongsi hubungan yang erat antara rakyat kedua-dua negara," katanya dalam satu hantaran di Facebook, sambil menambah bahawa mendiang bapanya menghabiskan masa kecilnya di Ipoh, ibu negeri Perak, sebelum berpindah ke Singapura.

Wong sebelum ini pernah berkongsi bahawa bapanya, yang meninggal dunia pada 2021 menamatkan pendidikan menengahnya di Ipoh.

Perdana Menteri turut menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan Sultan Nazrin dalam usaha memperkukuh hubungan antara rakyat di kedua-dua negara.

Turut hadir Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, antara lain. - BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED