Translate

15 October 2024

Polis siasat penipuan saham 'Online Dimensional Investment' libatkan kerugian RM3.46 juta



Polis siasat penipuan saham 'Online Dimensional Investment' libatkan kerugian RM3.46 juta

Bernama

14/10/2024


Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah memperdaya mangsa menyertai pelaburan itu melalui akaun pelaburan saham QFII yang dipanggil L-Trader Max. - Astro AWANI/Shahir Omar


KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan skim penipuan pelaburan saham Online Dimensional Investment membabitkan kerugian kira-kira RM3.46 juta susulan laporan oleh seorang mangsa yang diterima di daerah Serdang.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah memperdaya mangsa menyertai pelaburan itu melalui akaun pelaburan saham QFII yang dipanggil L-Trader Max.

"Suspek turut meminta mangsa menandatangani perjanjian kontrak atas nama syarikat Dimensional dan meyakinkan mangsa bahawa syarikat berkenaan berdaftar serta beroperasi di Singapura," katanya dalam kenyataan hari ini tanpa menyebut tarikh laporan itu dibuat.

Hussein berkata siasatan mendapati perjanjian yang ditandatangani itu adalah palsu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan skim pelaburan dalam talian terutamanya melalui aplikasi trader dan membuat pengesahan dengan agensi berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk sebarang pertanyaan," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED