Translate

06 October 2024

MITRA lulus lebih RM95 juta untuk 11 program masyarakat India



MITRA lulus lebih RM95 juta untuk 11 program masyarakat India

Bernama

06/10/2024

P. Prabakaran (tengah) bercakap kepada pemberita selepas Majlis Libat Urus Permohonan Geran Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) Tahun 2025 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) meluluskan peruntukan sebanyak RM95,482,075 bagi pelaksanaan 11 program di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia (PPSMI) bagi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P. Prabakaran berkata kesemua program yang dalam pelaksanaan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan sosioekonomi komuniti India dalam negara.

Beliau berkata program itu meliputi Program Bantuan Lesen Lori GDL Mitra sebanyak RM1.5 juta, Program Latihan dan Penempatan Sijil Profesional Keselamatan Siber Ec-Council (RM3.4 juta), Program Stock Market Investment and Trading (RM3.05 juta) dan Program Malaysia-China Youth TVET Training (RM3 juta).







"Program lain termasuk Program Malaysian Indian Skills Initiative (MISI) sebanyak RM10 juta, Malaysian Indian Community Entrepreneurship Program (RM12,326,400), Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (RM10 juta) dan Program Bantuan Awal Kemasukan IPT MITRA (IPT 4.0 MITRA) (RM25 juta).

"Selain itu, Program Bantuan Subsidi Dialisis MITRA bernilai RM8 juta, Program Bantuan Sinar Cahaya MITRA (RM15.5 juta) dan Program Kesedaran Keselamatan Siber untuk SJKT dan Pelajar India di SMK sebanyak RM3,705,675," katanya ketika ditemui selepas Majlis Libat Urus Permohonan Geran PPSMI 2025 di sini pada Sabtu.

Prabakaran berkata MITRA juga telah merancang untuk melaksanakan program untuk menggunakan baki peruntukan sebanyak RM4,517,925 supaya peruntukan kerajaan sebanyak RM100 juta kepada badan itu pada tahun ini dapat dibelanjakan sepenuhnya.

"Baki RM4.4 juta ini, kita ada perancangan dan kita akan buat pengumuman selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MITRA JPM dalam masa terdekat. Jadi, kita bersama pimpinan (MITRA) memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan dana lebih seperti yang dicadangkan iaitu RM300 juta (bagi 2025)," katanya.

Mengenai majlis libat urus itu, beliau berkata program berkenaan memberi peluang kepada pihak berkepentingan, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat berkaitan memperoleh informasi dan berkongsi pandangan dengan MITRA dalam usaha meningkatkan lagi sosioekonomi masyarakat India.

"Hari ini penglibatan yang sangat luar biasa, lebih 300 orang yang terdiri daripada pimpinan tempatan, pihak berkuasa tempatan, ketua komuniti India dan NGO hadir memberi pandangan yang sangat positif. Ada juga kritikan yang diberikan, kita terima dengan hati terbuka dan kita akan buat yang terbaik untuk 2025.

"Selain itu, kita juga menyatakan hala tuju dan rantaian ke hadapan MITRA dan memberikan taklimat panduan permohonan geran dan cara untuk memohon geran daripada MITRA yang akan dibuka pada 15 Okt hingga 14 Nov," katanya.

Dalam majlis sama, Prabakaran turut mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa Dr G. Gunarajah sebagai Penyelaras Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA Selangor dan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jayakumaran R Muniandy selaku Penyelaras JPPK Mitra Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED