Translate

06 October 2024

88 badan pensijilan halal luar negara dapat pengiktirafan JAKIM



88 badan pensijilan halal luar negara dapat pengiktirafan JAKIM

Bernama

06/10/2024

Mohd Na'im (kiri) melawat reruai pameran jualan selepas merasmikan majlis Makanan Halal: Selera Sedunia di AEON Mall, pada Sabtu. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memberikan pengiktirafan kepada 88 badan pensijilan halal luar negara setakat Mei tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata jumlah berkenaan membabitkan 49 buah negara antaranya China, Korea Selatan dan Jepun.

Beliau berkata badan berkenaan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sijil halal bagi produk-produk luar negara yang memasuki pasaran di Malaysia.







"Mekanisme untuk pensijilan halal di peringkat antarabangsa adalah melalui pengiktirafan oleh JAKIM selaku pihak berautoriti di negara ini kepada badan-badan pensijilan halal luar negara.

"Berdasarkan perkembangan pesat industri halal global, kita jangka jumlah permohonan dan yang diiktiraf akan terus meningkat dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program 'Makanan Halal: Selera Dunia' di sini pada Sabtu.

Sementara itu, mengenai isu penggunaan sijil halal palsu, Mohd Na'im berkata situasi masih terkawal dengan penguatkuasaan dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Beliau berkata JAKIM selaku agensi bertanggungjawab berkaitan pensijilan halal sentiasa bekerjasama dengan KPDN dalam melaksanakan penguatkuasaan memerangi sijil halal palsu.

Menurut beliau, kes penggunaan sijil halal palsu kebanyakannya dikesan melibatkan pasar awam, kedai runcit dan pasar raya kecil.

"Sekiranya JAKIM menerima aduan, agensi ini akan selaraskan dengan KPDN untuk jalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang, namun setakat ini kita dapati keadaan adalah terkawal," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED