Translate

03 October 2024

Majlis Keselamatan PBB nyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua PBB



Majlis Keselamatan PBB nyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua PBB

Bernama

03/10/2024



Israel pada Rabu mengisytiharkan Guterres sebagai "persona non grata," melarang beliau memasuki Israel selepas menuntut pengurangan ketegangan dengan segera di Asia Barat. - Gambar fail/Reuters

HAMILTON: Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Rabu menyatakan sokongan terhadap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, selepas Israel melarang kemasukan beliau ke Israel dan mengisytiharkannya sebagai persona non grata, lapor Agensi Anadolu.

Duta Perancis ke PBB, Nicolas de Riviere, mengucapkan terima kasih kepada Ketua PBB atas kenyataan yang dibuat pada sesi kecemasan Majlis Keselamatan yang diadakan berikutan situasi di Asia Barat dan menyatakan "sokongan dan kepercayaan penuh Perancis."

Duta Rusia, Vassily Nebenzya, menyifatkan keputusan Israel terhadap Guterres sebagai "tidak pernah didengari" dan "satu tamparan, bukan sahaja kepada PBB, tetapi kepada kita semua (UNSC)."

"Kami menggesa anggota Majlis Keselamatan dan PBB untuk bertindak terhadap tindakan keterlaluan ini," katanya.

Fu Cong dari China menyuarakan sentimen seiring dengan rakan-rakannya dan menyatakan "sokongan teguh" Beijing kepada Guterres serta bantahan terhadap keputusan Israel melarang Ketua PBB daripada memasuki Israel.

Wakil Malta, Vanessa Frazier, menekankan "sokongan berterusan dan tidak berbelah bahagi" kepada Guterres dan mengucapkan terima kasih atas "kepimpinan serta panduan moral beliau semasa mengemudi organisasi ini melalui masa-masa yang sukar."

Timbalan Wakil Slovenia, Ondina Blokar, memuji usaha PBB dan menyatakan "sokongan penuh" terhadapnya dan Guterres.

"Kami merayu kepada Israel untuk mempertimbangkan semula pengumuman hari ini," kata Blokar, sambil menambah bahawa "sudah tiba masanya untuk memperkukuh peranan diplomasi dan mengutamakan keamanan."

Wakil Korea Selatan, Joonkook Hwang, turut menyatakan sokongan serta menyampaikan "penghargaan mendalam" kepada Setiausaha Agung atas "usaha gigih beliau untuk keamanan di Asia Barat."

Amar Bendjama menyatakan "solidariti, kekaguman, dan sokongan penuh" Algeria kepada Setiausaha Agung selepas keputusan yang luar biasa oleh pihak berkuasa pendudukan Israel untuk mengisytiharkannya sebagai persona non grata.

"Keputusan ini mencerminkan rasa tidak hormat yang jelas terhadap sistem PBB dan seluruh masyarakat antarabangsa oleh pihak berkuasa Israel," katanya, sambil menambah "tiada naratif, tiada kebenaran yang wujud kecuali naratif mereka sendiri."

Switzerland, yang kini memegang jawatan Presiden Majlis Keselamatan, menyatakan "sokongan penuh" kepada Guterres, dan "PBB bersama organisasi lain kini sedang menyediakan bantuan kemanusiaan kepada semua orang awam."

Sementara itu, Duta Amerika Syarikat, Linda Thomas-Greenfield, mengelak daripada menyebut tentang Guterres dalam kenyataannya.

"Amerika Syarikat menyokong Israel sepenuh-penuhnya," katanya.

Israel pada Rabu mengisytiharkan Guterres sebagai "persona non grata," melarang beliau memasuki Israel selepas menuntut pengurangan ketegangan dengan segera di Asia Barat.

Guterres dikecam oleh Israel kerana tidak menyebut Iran secara khusus dalam kenyataannya pada Selasa mengenai serangan peluru berpandu dan tidak "mengutuk Tehran secara langsung".

Selepas serangan peluru berpandu itu, Guterres berkata: "Saya mengecam perluasan konflik Asia Barat dengan peningkatan demi peningkatan," dan menggesa gencatan senjata segera.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED