Translate

22 October 2024

APMM gagalkan cubaan seludup satu tan daun ketum



APMM gagalkan cubaan seludup satu tan daun ketum

Bernama

21/10/2024


Mohd Hashim berkata daun ketum itu dipercayai diperoleh dari Kedah dan modus operandi penyeludup disyaki termasuk mengubah suai bahagian dalaman bot untuk menyembunyikan bungkusan ketum daripada dikesan penguat kuasa. - Gambar Bernama


KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira satu tan daun ketum bernilai RM50,000 di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut muara Kuala Sanglang, Kuala Perlis dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata hasil risikan Unit Risikan Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) dan Bot Perkasa 1227, pihaknya mengesan sebuah bot gentian tanpa nombor pendaftaran dipercayai dikendalikan dua individu sedang menuju ke sempadan Thailand, pada 1.20 pagi.

Beliau berkata kedua-dua individu itu berjaya melarikan diri selepas mengemudi bot secara berbahaya dan meninggalkan bot berkenaan di jeti berhampiran kawasan itu.

"Hasil pemeriksaan terhadap bot menemukan 150 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki berisi daun ketum itu yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata daun ketum itu dipercayai diperoleh dari Kedah dan modus operandi penyeludup disyaki termasuk mengubah suai bahagian dalaman bot untuk menyembunyikan bungkusan ketum daripada dikesan penguat kuasa.

"Kita percaya ini dilakukan sindiket terancang yang sama kerana pernah dikesan sebelum ini, sindiket akan lari ke kawasan terdekat supaya pihak berkuasa sukar menjejaki mereka dan hanya membiarkan barangan tinggal di dalam bot," katanya.

Beliau berkata daun ketum dan bot dirampas dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis manakala kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 yang melibatkan pengendalian vesel tanpa lesen yang sah di perairan Malaysia.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED