Translate

02 November 2023

'Instafamous' terkenal dipenjara, didenda curi barang di pasar raya



'Instafamous' terkenal dipenjara, didenda curi barang di pasar raya

Bernama

November 2, 2023

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara tiga hari sekiranya gagal membayar denda. - Gambar hiasan

'Instafamous' terkenal dipenjara, didenda curi barang di pasar raya

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara tiga hari sekiranya gagal membayar denda. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang 'Instafamous' terkenal dipenjara sehari dan didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri beberapa barangan bernilai lebih RM100 di sebuah pasar raya, semalam.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Rumaisyah Yahya, 31, yang mengaku bersalah mencuri barangan antaranya penyangkut baju, ubat gigi dan minuman keseluruhannya berjumlah RM108.18 di sebuah pasar raya di pusat beli-belah Suria KLCC, Jalan Ampang di sini, pada 4.30 petang, 1 Nov (semalam).

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua boleh dihukum penjara serta dikenakan denda atau sebat.







Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara tiga hari sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai pengajar yoga telah mengambil beberapa barang lalu memasukkannya ke dalam beg yang dibawa, namun dia tidak membuat pembayaran bagi barangan tersebut sebelum berjalan ke bahagian lain dan terus keluar dari pasar raya itu.

Tertuduh kemudian ditahan oleh pengawal keselamatan dan pemeriksaan mendapati beg yang dibawa mempunyai barangan milik pasar raya tersebut dan dia gagal mengemukakan resit pembelian.

Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab, mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan menyara ibu berusia 65 tahun yang merupakan pesakit darah tinggi.

"Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan barang yang diambil hanyalah barang keperluan asas sahaja. Anak guam telah insaf dan mohon diberikan peluang kedua," kata Muhammad Rhastdan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED