Dewan Ulama Pas gesa batal 'Miss World Noble Queen International' di KL
Astro Awani
November 24, 2023
DUPP gesa kerajaan batalkan penganjuran program Miss World Noble Queen International 2023 yang dijangka berlangsung di ibu negara bulan depan. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) menggesa kerajaan supaya membatalkan penganjuran program ratu cantik Miss World Noble Queen International 2023 yang dijangka berlangsung di ibu negara bulan depan.
Ketua DUPP Datuk Ahmad Yahaya berkata, penganjuran program sedemikian yang turut melibatkan Tourism Malaysia itu, tidak sepatutnya dibenarkan langsung untuk dilaksanakan dalam negara.
"DUPP berpandangan program sedemikian bukan sahaja memberikan imej buruk kepada negara kita, bahkan sangat tidak bertepatan dalam suasana kesengsaraan yang menimpa saudara kita di Palestin.
"DUPP sependapat dengan beberapa orang mufti yang memberikan pandangan bahawa sebarang program hiburan yang melalaikan termasuk konsert Coldplay tidak patut dibenarkan dalam negara.
"Apakah kita masih lagi tidak mahu mengambil pengajaran terhadap bala bencana yang pernah menimpa negara sebagai suatu teguran daripada Allah?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, DUPP mendesak kerajaan supaya segera membatalkan program ratu cantik tersebut selain mengeluarkan pekeliling bagi memastikan tiada lagi program seumpamanya dibenarkan berlangsung dalam negara.
Pada 14 Nov lalu, media melaporkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi pertandingan ratu cantik Miss World Noble Queen pada 12 Dis ini di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.