Pengerusi MN, Tan Sri Annuar Musa berkata, seramai 30 individu telah dipilih sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN.
Penyanyi pop lagenda Datuk Jamal Abdillah, pelakon Datuk Eizlan Yusof dan Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin adalah antara 30 individu yang dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN).
Mereka yang dilantik terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti profesional, ahli akademik, pempengaruh serta melangkaui parti politik yang akan membantunya menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.
Annuar berkata, MN adalah NGO berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) dan bukanlah parti politik.
Pemimpin Pas seperti Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Nik Abduh Nik Aziz serta bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman juga menjadi ahli MN.
Individu lain yang menyertai MN dan dilantik Ahli Dewan Tertinggi adalah Kerabat Diraja Pahang, Datuk Seri Tengku Idris Ibni Al Marhum Sultan Abu Bakar; Tan Sri Noh Omar (Ketua Bahagian Umno Bahagian Tanjong Karang); Datuk Zuraida Kamaruddin (ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM); Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar Ramanaidu (ahli PBM); Prof Datuk Dr Yahya Ibrahim (mantan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza); Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz (pakar perundangan dan perlembagaan); Prof Dr Mohd Redhuan Tee Abdullah (penceramah); Prof Dr Wan Azman Wan Sulaiman (Universiti Sains Malaysia); Datuk Seri Md Redzuan Mat Yusof (bekas menteri kabinet dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Annuar berkata, Tun Dr. Mahahir Mohamad turut memberi sokongan kepada MN dalam pertemuan dengan bekas perdana menteri itu semalam.