4 Senator anggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan
02 Dis 2022,
BULETIN TV3
KUALA LUMPUR
KUALA LUMPUR: Seramai empat individu yang bukan dalam kalangan Ahli Parlimen akan dilantik menganggotai Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, semua calon berkenaan bagaimanapun perlu dilantik menjadi Ahli Dewan Negara terlebih dahulu sebelum menjadi menteri.
Mereka ialah, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan menerajui portfolio Kementerian Dalam Negeri, manakala bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Turut tersenarai ialah Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang akan menerajui portfolio Menteri Agama, manakala Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Luar.
Saifuddin Nasution yang juga calon PH di Parlimen Kulim-Bandar Bharu sebelum ini pernah dilantik menerajui portfolio Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mulai Mei 2018.
Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan jawatan berkenaan susulan perubahan kerajaan selepas 22 bulan Pakatan Harapan menerajui pentadbiran, pada Mac 2020.
Tengku Zafrul yang juga bendahari BN Selangor kalah kepada calon PH, Dr Dzulkefly Ahmad dalam persaingan merebut kerusi Parlimen Kuala Selangor, pada PRU15.
Beliau sebelum ini diberi tanggungjawab menerajui portfolio Kementerian Kewangan, ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tengku Zafrul, 49, dilahirkan di Kuala Lumpur dan menerima pendidikan awal di Kolej Melayu Kuala Kangsar, sebelum melanjutkan pelajaran di University of Bristol, United Kingdom dan memiliki Ijazah Sains (Kepujian) Ekonomi dan Perakaunan.
Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (MA) dalam bidang Kewangan dan Pengurusan daripada University of Exeter serta Fellow Chartered Banker dengan Asian Institute of Chartered Bankers.
Sementara itu, Mohd Na’im memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD) Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) dari University of London, United Kingdom.
Beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syariah Petaling antara 1998 hingga 2001, sebelum meneruskan khidmat di Kuala Lumpur hingga 2003.
Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini pernah menerajui Kerajaan Perak sebagai Menteri Besar Ke-11, pada 2009 hingga Mei 2018.