Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor |
MAQIS tahan kontena bawa daging kerbau beku dari India tanpa permit
BERNAMA
SHAH ALAM, 2 Julai -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor menahan sebuah kontena membawa daging kerbau sejuk beku dari India seberat 28,008 kilogram kerana gagal mengemukakan permit import yang sah, di Pelabuhan Klang Barat, Selasa lepas.
Pengarah Maqis Selangor Zamri Hashim berkata kontena yang membawa daging sejuk beku dianggar bernilai RM290,786.06 itu ditahan pihaknya susulan pemeriksaan pada 12.15 tengah hari.
“Kontena tersebut ditahan untuk tindakan lanjut kerana gagal mengemukakan Permit Import Maqis yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zamri berkata perbuatan mengimport daging sejuk beku tanpa permit import itu akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta yang sama.
“Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.