Translate

21 July 2021

MAKLUMBALAS LAPORAN BEBERAPA AKHBAR TEMPATAN BERKENAAN PROGRAM REKALIBRASI DI KLIA


MAKLUMBALAS LAPORAN BEBERAPA AKHBAR TEMPATAN BERKENAAN PROGRAM REKALIBRASI DI KLIA

Imigresen Malaysia
21/7/2021

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merujuk kepada laporan berita beberapa akhbar tempatan berkenaan sambutan luar biasa Program Rekalibrasi Pulang PATI di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Laporan-laporan berkenaan turut menyatakan terdapat ramai PATI yang terkandas dan terlepas penerbangan di kaunter Imigresen kerana proses kerja yang mengambil masa.
 
Jabatan ini ingin menjelaskan bahawa semua warganegara asing berkenaan tidak terperangkap atau diminta berkumpul di KLIA. Sebaliknya mereka menunggu giliran bagi membayar kompaun sebanyak RM500 dan mendapatkan Memo Periksa Keluar (Check Out Memo) sebelum dibenar meninggalkan Malaysia. Warganegara asing ini telah melakukan kesalahan tinggal lebih masa.
 
Sambutan ke atas program rekalibrasi pulang sangat menggalakkan. Sehingga 20 Julai 2021, seramai 101,691 orang PATI telah berdaftar dan 83,117 daripada jumlah ini telah meninggalkan negara. Bagi kaunter khas di KLIA, mulai tarikh 5 hingga 20 Julai 2021, seramai 3,483 orang PATI telah pulang melalui perkhidmatan kaunter ini.
 
Jumlah PATI yang datang ke KLIA adalah diluar jangkaan dan melebihi kapasiti ruang menunggu yang disediakan di tingkat 3 KLIA. Selain itu, Jabatan ini juga dapat mengesan terdapat kalangan mereka yang terlepas penerbangan kerana datang lewat, tetapi terus kekal berada di KLIA untuk menunggu giliran dan penerbangan seterusnya.

Jabatan ini telah mengambil langkah segera bagi mempercepat dan melancarkan urusan pulang PATI melalui Kaunter Khas di KLIA.
 
Antaranya ialah Jabatan ini sedang berunding dengan pihak pengurusan KLIA untuk penambahan kaunter dan lokasi menunggu giliran yang lebih sesuai serta meluaskan operasi kaunter Rekalibrasi Pulang ke KLIA2.
 
Sebanyak 20 kaunter tambahan dan ruang menunggu yang baharu akan dibuka secara berpusat di Short Term Car Park KLIA yang dijangka dapat menampung kapasiti seramai 850 sehingga 1000 orang pada satu - satu masa. Selain itu, 8 buah kaunter dan ruang menunggu akan dibuka di aras 2, KLIA2 dengan kapasiti seramai 500 orang pada satu masa. Kedua-dua lokasi kaunter dan ruang menunggu baharu ini dijangka akan dapat memulakan operasi pada minggu hadapan.

Sebagai tambahan, JIM juga sedang mengambil tindakan untuk membuka kaunter khas di Pintu Masuk Laut di Johor bagi memberi kemudahan kepada PATI warga negara Indonesia pulang segera menggunakan feri.
JIM juga ingin memaklumkan bahawa hanya PATI yang mempunyai slip ujian RT PCR negative sahaja dibenarkan berurusan di kaunter-kaunter khas ini.
 
Penambahbaikan yang dilaksanakan ini diharap dapat mengatasi masalah kesesakan dan melancarkan lagi pelaksanaan Program Rekalibrasi Pulang melalui Kaunter Khas di KLIA.

DATO’ INDERA KHAIRUL DZAIMEE BIN DAUD
KETUA PENGARAH IMIGRESEN
MALAYSIA


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED