Translate

27 July 2021

Lelaki Hadap 26 Pertuduhan Rogol, Amang Seksual Ke Atas Anak Saudara Sendiri (Video)

Tertuduh yang berusia 39 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Afizi Othman. - Astro AWANI

Lelaki hadap 26 pertuduhan rogol, amang seksual ke atas anak saudara sendiri

Astro Awani
27/7/2021

ALOR GAJAH: Seorang pembekal sate dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas 26 pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak saudara perempuannya berusia 19 tahun, sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 39 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Afizi Othman.

Mengikut satu pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap mangsa yang ketika itu berusia 15 tahun 11 bulan.

Tertuduh turut berdepan 24 pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja sama.

Bagi pertuduhan itu, dia juga berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan, jika didapati bersalah.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah sejak 16 Oktober 2018 hingga 31 Oktober 2020 lalu.

Dalam pada itu, tertuduh turut didakwa atas satu pertuduhan mengandungi rakaman video lucah di dalam telefon bimbitnya dan didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang menbolehkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda atau keduanya.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira remaja berkenaan berada di bawah jagaan tertuduh selain aktiviti tidak bermoral itu dikesan berjalan aktif sepanjang tempoh lebih dua tahun.

Hakim Afizi pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin selain meletakkan syarat perlu melapor diri ke balai polis berhampiran dua kali sebulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 5 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh diwakili peguam Datuk Aravindhakshan MNV Pillai.

Sebelum ini, media melaporkan perbuatan terkutuk tertuduh menjadikan anak saudara perempuannya itu sebagai tempat melampias nafsu sejak tiga tahun lalu, akhirnya terbongkar selepas remaja perempuan berkenaan tampil membuat laporan polis.

Lebih menjijikkan, tindakan tidak berperikemanusiaan tertuduh turut diketahui oleh isterinya yang juga ibu saudara mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dilaporkan berkata, remaja berkenaan mendakwa kejadian yang bermula sejak Oktober 2018 itu berlaku selepas ibu saudaranya mengarahkan mangsa melakukan hubungan seks dengan suaminya.


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED