Astro Awani
29/3/2021
KUALA LUMPUR: Polis sudah melengkapkan siasatan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 ketika berada di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang, di sini, minggu lalu.
Dalam video itu, Najib dilihat tidak melakukan imbasan suhu juga tidak mendaftar MySejahtera di pintu masuk restoran yang terletak di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata kertas siasatan itu akan dihantar ke Bahagian Pendakwaan Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.
"Kita telah lengkapkan siasatan dan kita akan rujuk kertas siasatan ke Bukit Aman dan sekiranya dipersetujui kita akan rujuk kertas siasatan itu ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, pada Ahad.
Polis sebelum ini mengesahkan siasatan ke atas Ahli Parlimen Pekan itu dibuat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 39 saat menunjukkan Najib bersama beberapa individu hadir di sebuah restoran untuk makan tanpa terlebih dahulu melakukan imbasan suhu dan mendaftar MySejahtera.
Source: Astro Awani
FOR MORE NEWS GO TO: