Translate

07 July 2018

Mahkamah Tinggi memutuskan pihak berkuasa agama Islam Selangor - JAIS tidak mempunyai bidang kuasa terhadap umat Islam Ahmadi



Mahkamah arah jabatan agama jangan ganggu Ahmadiah

Soo Wern Jun | July 6, 2018



Mahkamah Tinggi memutuskan pihak berkuasa agama Islam Selangor tidak mempunyai bidang kuasa terhadap umat Islam Ahmadi di negeri ini


SHAH ALAM: Perjuangan 4 tahun komuniti kecil pengikut fahaman Ahmadiah untuk mendapatkan hak menjalankan ibadat tanpa diganggu pihak berkuasa agama Islam Selangor mendapat kejayaan hari ni.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Vazeer Alam Mydin Meera, memberikan keputusan yang menyebelahi permohonan semakan oleh 39 pengikut fahaman itu, atas dasar pihak berkuasa agama Islam di Selangor tidak mengiktiraf Ahmadiah sebagai orang Islam.

Mahkamah merujuk kepada fatwa yang diwartakan di Selangor pada 2001 yang mengisytiharkan pengikut ajaran itu sebagai sesat, oleh Jabatan Agama Islam Selangor tiada bidang kuasa untuk menyiasat dan mendakwa mereka atas kesalahan bawah Enakmen Jenayah Islam Negeri.

“Segala perintah untuk tampil di Mahkamah Syariah untuk menghadapi pendakwaan juga dibatalkan,” kata Vazeer ketika membaca keputusan mahkamah.

Vazeer juga memerintahkan ketua pendakwa raya syariah dan pejabat penguatkuasa agama untuk menghentikan pendakwaan dan siasatan terhadap 39 pemohon tersebut.

Lima defenden iaitu ketua pegawai penguatkuasa agama, pegawai penyiasat, Jais, ketua pendakwa syariah negeri dan kerajaan Selangor juga diarah membayar kos semua pemohon sebanyak RM25,000.

Empat tahun yang lalu, 39 orang pengikut fahaman Ahmadiah memfailkan semakan kehakiman selepas Jais menangkap ahli-ahli komuniti itu.

Mereka yang ditangkap termasuk 8 pemohon suaka dari Pakistan, 2 orang warga India, 1 warga Indonesia dan 3 anak kecil pada 11 April 2014 kerana bersembahyang Jumaat di rumah ibadah kelolaan mereka di Batu Caves, Selangor.

Kumpulan itu dimaklumkan mereka tidak mendapat kebenaran bertulis untuk menggunakan premis itu bagi tujuan yang hanya boleh dijalankan di dalam atau oleh masjid, lalu menyalahi Seksyen 97 Pentadbiran Enakmen Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap penahanan mereka pada Ogos 14, 2014, sebelum perbicaraan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada September 15, 2015.

Bukan kes murtad

Sementara itu, peguam 39 pemohon berkenaan, Aston Paiva berkata, intipati keputusan mahkamah hari ini ialah pengikut fahaman Ahmadiah dapat menjalankan urusan keagamaan mereka tanpa gangguan pihak berkuasa agama Islam.

Aston berkata komuniti Ahmadiah harus dibenarkan mengamalkan kepercayaan mereka kerana kerajaan Selangor tidak menganggap mereka sebagai orang Islam.

Beliau menambah Jais juga tidak boleh mendakwa ahli-ahli komuniti itu dengan kesalahan syariah kerana ia menganggap pengikut fahaman Ahmadiah tidak menganut agama Islam.

“Ini bukan kes murtad di mana mereka mengatakan bahawa mereka meninggalkan Islam,” katanya.

“Itu tidak boleh berlaku terhadap seseorang pengikut Ahmadiah. Seorang pengikut Ahmadiah tidak akan mengatakan bahawa mereka bukan lagi Islam.”

Pengikut Ahmadiah, atau juga digelar Qadiani, berbeza dalam beberapa perkara dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, antaranya mempercayai pengasas fahaman itu, Ghulam Ahmad adalah Imam Mahdi.

“Dengan erti kata lain, kerajaan memperlakukan mereka sebagai orang bukan Islam, jadi mereka hanya perlu diperlakukan sebagaimana mereka mahu.

“Di satu pihak, anda mengatakan mereka bukan orang Islam; Sebaliknya, anda menangkap mereka dan membawa mereka ke Mahkamah Syariah untuk menghadapi pertuduhan,” tambah Aston, merujuk kepada pihak berkuasa agama Selangor.

Pemangku Presiden Jemaah Ahmadiah, Saripudin Bujing, ketika ditemui lega dengan keputusan mahkamah hari ini.

“Sepanjang tempoh empat tahun ini, kami terpaksa menyewa satu ruangan di tempat lain untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Kerana itu kewajipan kita sebagai umat Islam. Jadi kita menjalankan ibadat kita di tempat yang kita sewa itu.

“Kita juga berharap kerajaan baru ini akan mengendalikan kami dengan adil sesuai dengan prinsip di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan beragama,” beliau berkata.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED