Translate

17 September 2017

Penerbit rumah produksi Tenview Sdn Bhd gugurkan Fathia Latiff daripada drama La Luna kerana masalah disiplin




“Dia selalu datang lambat dan semalam tak datang langsung. Semua kru di lokasi menjadi saksi dan tidak ada apa lagi perlu disorokkan.”

Demikian kata penerbit rumah produksi Tenview Sdn Bhd, Norazah Sahud mengenai tahap disiplin pelakon Fathia Latiff sehingga memaksa pihaknya menggugurkan pelakon itu dari membintangi drama La Luna.


Norazah berkata, dia mengambil keputusan itu selepas berbincang dengan pengarah dan pengurus produksi.


“Betul, dia sudah digugurkan daripada drama ini sejak semalam. Fathia sudah terbabit selama dua minggu membabitkan 35 babak. Diakui sepanjang tempoh itu, dia sering datang lambat. Ada yang dimaklumkan begitu juga sebaliknya.

“Kalau dia datang awal pun, ia atas inisiatif pihak produksi yang memantaunya. Namun fikir secara logik, takkan setiap hari mereka nak menguruskan dia seorang. Banyak lagi perkara lain perlu dilakukan.

“Soal dia datang lambat, kami boleh tutup mata lagi sebab masih boleh meneruskan penggambaran selepas itu. Namun apabila dia tidak muncul di lokasi semalam, saya beranggapan dia sudah melampau,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Norazah, dia kecewa dengan sikap pelakon itu yang mana sudah berjanji untuk berubah sebelum menawarkan projek itu.

Dalam masa sama, Norazah enggan mengambil risiko sekiranya mengekalkan pelakon itu ekoran sebuah video tular yang mengaitkan dirinya.

“Pada awalnya saya tak nak mengambil dia berlakon kerana sedia maklum dia mempunyai masalah disiplin. Namun pengurus produksi memberi jaminan dia sudah berubah. Malah dia sendiri mengatakan perkara sama kepada saya. Jadi saya pun percayakannya.

“Apabila terjadi perkara ini, saya sangat kecewa. Dia mengkhianati kepercayaan diberikan. Ia memberi kesan kepada keseluruhan pasukan.

“Dia ada menghantar mesej meminta maaf dan berjanji untuk berubah. Namun saya serik dan takut dengan janji diberikan. Malah pengarah dan pengurus produksi pun sama,” katanya.

Disebabkan itu, pihaknya perlu mencari pelakon lain bagi menggantikan watak yang dilakonkan Fathia.

Ia sekaligus menyaksikan kesemua babak yang membabitkan pelakon itu terpaksa dilakukan semula.

“Buat masa sekarang kami masih berbincang bagi mencari pengganti. Malah kami juga belum dapat memastikan jumlah kerugian yang bakal ditanggung apabila menjalani penggambaran semula.

“Bukan itu saja, kami juga dalam proses perbincangan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas dirinya. Namun saya masih ada hati perut,” katanya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan Fathia gagal apabila dia tidak menjawab panggilan dan mesej.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, pelakon drama Ariana Rose itu enggan memberikan sebarang komen membabitkan video yang didakwa dirinya bersama pelakon baru, Natasha Elyzza sedang menari dalam persalinan tidur sehingga menampakkan sebahagian buah dada.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 6:12 PM
Read More https://www.hmetro.com.my/utama/2017/09/264184/fathia-digugurkan-masalah-disiplin

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED