Translate

29 August 2017

Tempahan untuk nombor siri U1 hingga U9999 dibuka bermula 21 Ogos lalu sehingga 8 September ini dan ia terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

Nombor Plat U Kini Dibuka Serendah RM50, Paling Laris ‘UAI’

Memiliki plat nombor pendaftaran kenderaan yang signifikan atau mempunyai maksud tertentu seperti nama seseorang atau tarikh istimewa pastinya menjadi idaman ramai.
Selepas fenomena nombor pendaftaran kenderaan F dan AKU yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini, orang ramai berpeluang pula untuk mendapatkan nombor pendaftaran terbaharu dan paling unik – U (Wilayah Persekutuan).
Sekretariat Pengurusan No Plat U kini membuka tempahan untuk nombor siri U1 hingga U9999 bermula 21 Ogos lalu sehingga 8 September ini dan ia terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Jurucakapnya, Mohd Johari Mohd Noor berkata pemohon yang berminat untuk mendapatkan nombor pendaftaran berkenaan boleh membuat tempahan dengan mengemukakan deposit 50 peratus daripada harga tempahan.
Menarik mengenai tempahan nombor ini, Mohd Johari berkata, pihaknya tidak meletakkan sebarang harga, sebaliknya pembida boleh membuat tempahan dengan harga serendah RM50.
“Setakat ini, berdasarkan semakan di laman sosial, panggilan telefon dan jumlah borang yang dimuat turun, sambutan terhadap tempahan nombor pendaftaran ini sangat mengalakkan.
“Kami tidak meletakkan sebarang harga, pemain boleh membuat tempahan serendah RM50. Namun, setakat ini kebanyakkan pembida membuka tender bagi setiap nombor yang ditempah dengan harga RM300,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.
Tambah Mohd Johari, satu borang sahaja boleh digunakan untuk setiap tempahan nombor pendaftaran, namun pihaknya tidak meletakkan had maksimum tempahan nombor kepada mana-mana individu kerana ia bergantung kepada kelulusan dan kemampuan pembida.
Mengulas lanjut mengenai keunikan nombor pendaftaran U, Mohd Johari berkata, antara nombor yang paling menjadi rebutan adalah U1, U2, U21, U14, U8055 dan UAI yang membawa maksud sinonim kepada nama ‘Ustaz Azhar Idrus’.
Mohd Johari mengakui nombor pendaftaran berkenaan turut dibida golongan kenamaan, namun identiti dan jumlah bidaan tertinggi yang dibuat oleh pembida tidak dapat didedahkan sehingga hari pengumuman pemenang.
“Keputusan pembida yang berjaya akan diumum pada 18 September ini.
“Keputusan tempahan nombor pendaftaran akan diumum di papan kenyataan di pejabat JPJ Negeri atau Cawangan yang berkenaan (Wangsa Maju) beserta nombor pendaftaran dan harga bidaan yang tertinggi,” katanya.
Susulan itu, beliau menasihati orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan nombor pendaftaran berkenaan supaya segera mengisi dan mengemukakan borang permohonan kepada pihak mereka secepat mungkin.
Borang Tempahan Nombor Plat UBorang Tempahan Nombor Plat U
Borang Tempahan Nombor Pendaftaran boleh didapati di pejabat Sekretariat Pengurusan No Plat U atau boleh dimuat turun di laman sesawang www.plat-u.com.
Pemohon yang berjaya menempah nombor pendaftaran perlu mendaftar nombor tersebut dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh pembayaran penuh dibuat dan didaftarkan atas nama pemohon yang berjaya sahaja.
Bagi pemohon-pemohon yang tidak berjaya pula, bayaran pendahuluan akan dikembalikan secara pos.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman sesawang www.plat-u.com atau boleh menghubungi sekretariat pengurusan di talian 03-6201 5971.
 - mD

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED