image: http://www.mstar.com.my/~/media/upload/2017/08/17/13/18/errma%20cerai%201.ashx?w=620&h=413&crop=1&/
AMPANG: Setelah 26 tahun mendirikan rumah tangga pengarah terkenal Bade Azmi melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya pengarah dan pelakon Erma Fatima kira-kira pukul 11.35 pagi, Khamis.
Bade atau nama sebenarnya Badaruddin Azmi, 53, melafazkan cerai di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, pada Khamis.
Bade hadir secara berasingan menaiki motosikal kira-kira pukul 10.30 pagi.
Manakala Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 49, berjubah hitam tiba di mahkamah pukul 11 pagi bersama adiknya Betty Rahmad.
Bade selaku plaintif kes itu memfailkan permohonan bercerai pada 10 Ogos mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Erma diwakili peguam Datuk Jamal Mohd Lokman Sulaiman sementara Bade tidak diwakili peguam.
Dalam pada itu Erma yang ditemui di luar mahkamah berkata, dia reda dengan perceraian itu selain menganggap ia sebagai urusan Allah.
"Apa yang boleh saya katakan, soal mati dan jodoh itu, ketentuan Tuhan dan jika ini ketentuannya, saya sangat reda," ujarnya ringkas.
Bade dan Erma bernikah pada 30 November 1991.
Mereka mempunyai lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 24, Ahmad Arir, 22, Ahmad Aifin, 20, Citra, 15, dan Nurain, 11.
Bagaimanapun pada awal 2014, Bade telah berkahwin dengan wanita bernama Aida berasal dari Pahang.
Hasil perkahwinan tersebut pasangan dikurniakan dua cahaya mata.
Pada tahun 2015, Erma pernah memfailkan perceraian namun menarik balik permohonan tersebut selepas kedua-duanya mengaku masih saling sayang menyayangi.
Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2017/08/17/erma-bade-cerai/#Uy7uyXLIcDf3HlEu.99