KUALA LUMPUR 11 Julai - Penerbit David Teo, tidak pernah berniat untuk menghina Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dalam kenyataannya baru-baru ini.
Baginya P.Ramlee ialah seorang insan seni yang serba boleh dan tiada galang ganti.
"Saya sebagai penerbit sangat mengagumi karya-karya beliau yang 'tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas'.
"Saya sentiasa berpesan kepada artis-artis dan pengarah di bawah naungan syarikat saya supaya sentiasa berdisiplin dan berilmu supaya tidak menjadi mangsa tipu daya golongan yang ingin mengambil kesempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
David yang kini berada di Beijing, China turut menafikan yang dia pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang tersebar di media massa.
"Tidak juga terdetik sedikit pun untuk menidakkan apatah lagi menghina Seniman Agung Tan Sri P Ramlee dan karya-karya beliau.
"Saya yakin ini semua adalah salah faham dan salah tafsir pihak yang mendengar dan menulis artikel ini," katanya.
Terdahulu, dalam sebuah portal menyiarkan kenyataan David yang berpesan kepada artis supaya mementingkan sumber kewangan berbanding populariti di dalam bidang seni.
Dalam berita yang disiarkan itu turut memperlihatkan yang dia membandingkan kehidupan P. Ramlee yang susah ketika di penghujung usia.
Sehubungan itu, David yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) International Group (MIG) dengan rendah hati memohon maaf kepada semua terutamanya kaum keluarga Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan seluruh penggiat seni tanah air yang terguris dengan isu yang sedang diperkatakan sekarang. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/terkini/tiada-niat-hina-p-ramlee-david-teo-1.351894#sthash.afM2uBZ4.dpuf