Translate

10 July 2016

Dua kali pertemuan secara tidak sengaja ADUN Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob, 47, dan ahli perniagaan Datuk Zulkifli Ishak, 50, melahirkan bibit percintaan




Dua kali jumpa cinta berputik


DUA dari kiri, Zulkifli dan Suraya melayan tetamu dan ahli keluarga yang hadir di majlis mereka

HARIAN METRO

Alor Setar: Dua kali pertemuan secara tidak sengaja antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob, 47, dan ahli perniagaan Datuk Zulkifli Ishak, 50, melahirkan bibit percintaan sebelum diakhiri ke jenjang pelamin, semalam.

Suraya berkata, beliau dipertemukan dengan suaminya di Wisma Darulaman, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari pada 28 September tahun lalu yang sepatutnya bertemu dengan Ahli Mesyuarat kerajaan negeri Kedah Datuk Mohd Rawi Abd Hamid atas urusan tertentu.

“Secara kebetulan, Datuk (Mohd) Rawi mempunyai urusan lain menyebabkan saya dipertemukan dengan suami yang tidak pernah dikenali sebelum ini bagi menggantikannya.

“Malah, apabila suami (Zulkifli) mahu pulang ke Kuala Lumpur, kami bertemu buat kali kedua di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini, sebelum mula berhubungan sejak itu sehingga diakhiri ke jenjang pelamin,” katanya.

Terdahulu, Suraya yang juga Ahli Mesyuarat kerajaan negeri diijabkabulkan dengan Zulkifli dengan sekali lafaz oleh Imam Masjid Sultanah Bahiyah, Mustafa Kamil Abdul Jamil di kediaman beliau di Lorong Menteri 2, di sini, kira-kira jam 9.45 pagi.

Beliau yang kematian suami Allahyarham Syed Al-Fandi Syed Mansor Barakbah akibat jangkitan dalam kepala pada 18 Februari 2014 menerima mas kahwin RM10,000, sebentuk cincin dan seutas gelang emas, bagaimanapun jumlah wang hantaran tidak didedahkan.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan menghadiri majlis resepsi pasangan berkenaan di Dewan Centennial, Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), di sini.

Turut berangkat, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang juga Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah bersama isteri Puan Temenggong Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff.

Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim turut berkenan menghadiri majlis berkenaan.

Suraya memiliki dua anak iaitu Syed Afiq Syed Al-Fandi, 20, dan Syed Amir, 11, manakala Zulkifli pula mempunyai tiga anak daripada perkahwinan terdahulu iaitu pasangan kembar, Amir Shazri dan Amir Shazrin, 22, serta Amira Shazlin, 16.

Menurutnya, beliau berasa gembira dan bersyukur kerana majlis perkahwinannya berjalan lancar dan berharap kekal hingga ke hujung nyawa.

Katanya, walaupun ia perkahwinan kali kedua buat pasangan berkenaan, namun mereka berharap dapat mengharungi kehidupan dengan lebih baik dan bermakna, sekali gus menggembirakan keluarga terutama anak-anak.

“Saya rasa sungguh gembira kerana majlis (perkahwinan) ini amat bermakna kerana dapat berkongsi dengan semua, dan berdoa (perkahwinan) akan bawa ke hujung nyawa, sekali gus memberi kegembiraan kepada anak-anak kami.

“Majlis ini bagi meraikan bersama keluarga kerana ia melambangkan sesuatu perkahwinan perlu dikongsi dengan semua seperti keluarga dan rakan taulan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/node/150755





Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED