Translate

01 February 2015

Gabenor Bali Arah Penduduk Bunuh Anjing Jalanan



DENPASAR – Kesal dengan kehadiran lebih setengah juta anjing liar, Gabenor Bali, Made Mangku Pastika mengarahkan penduduk di pulau pelancongan terkenal itu membunuh sahaja haiwan tersebut jika melihat ia berkeliaran di jalanan.

Akhbar berpengaruh Indonesia, Kompas pada Sabtu melaporkan, tindakan amat drastik itu terpaksa dibuat ekoran peningkatan kes penduduk yang menghidap rabbies atau penyakit anjing gila akibat pernah diserang mamalia tersebut.

Meskipun usaha murni itu dibantah badan kebajikan haiwan tempatan dan antarabangsa, beliau bertegas, langkah pembunuhan lebih 500,000 ekor anjing berkenaan sudah sampai ke tahap darurat sebelum keadaan bertambah lebih teruk.

“Warga Bali cuma empat juta orang dan ini bermakna nisbah setiap lapan orang bertemu seekor anjing liar berpotensi dijangkiti kuman anjing gila sehingga wang bajet pemerintah untuk beli vaksin habis bazir sia-sia begitu sahaja,” tegas Made.

Beliau menambah, pihak berkuasa wilayah itu sudah berusaha sehabis maksimum untuk menangani kes anjing gila yang bertambah setiap hari padahal anjing yang menjadi penyebab utama bebas berkeliaran mencari ramai mangsa baharu.

Ujar Made, jika gagal dikurangkan jumlah haiwan itu, penduduk khasnya kanak-kanak, wanita dan orang tua akan hidup dalam ketakutan sehingga berasa bimbang berjalan di luar rumah sekali gus menjejaskan produktiviti industri pelancongan.

Beliau turut membandingkan anjing di Bali jauh berbeza daripada Australia yang dijaga rapi oleh pemiliknya dengan menerima rutin rawatan khusus termasuk vaksin rabbies daripada doktor haiwan dan menikmati makanan sihat berkhasiat.

“Sebaliknya di Bali, anjing di pulau ini amat pengotor walaupun yang dipelihara jinak di dalam rumah, dan masih tidak dapat rawatan secara berkala, malah dibiarkan di jalanan bebas ganggu penduduk secara agresif,” jelas Made. – Agensi



Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED