KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Keseronokan membeli barang di atas talian
atau 'online', membuatkan ramai yang memilih cara berkenaan, yang dianggap
mudah, cepat dan menjimatkan, bagi mendapatkan produk mahupun perkhidmatan.
Lebih-lebih lagi sepanjang bulan Ramadan ini, pembelian secara online
meningkat berkali-kali ganda dengan pelbagai promosi oleh peniaga yang mengambil
peluang sempena kedatangan Aidilfitri ini.
Trend pembelian melalui online, yang menjadi sebahagian gaya hidup
masyarakat hari ini turut diakui Pos Malaysia, yang menyediakan perkhidmatan
penghantaran melalui Pos Laju.
Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat dan Penjagaan Pelanggan Pos Malaysia,
Datuk Rohaiza Hashim berkata trend itu semakin ketara sejak tiga tahun lepas,
apabila jumlah pengeposan barangan meningkat dalam tempoh itu.
Pada tahun 2011 sebanyak 29 juta pengeposan barang dibuat meningkat kepada
30 juta pada tahun 2012 dan terus meningkat kepada 40 juta pada tahun lepas.
Kebiasaannya pada bulan Ramadan akan berlaku peningkatan pengeposan antara
25 hingga 30 peratus terutama dua minggu terakhir sebelum hari raya, katanya.
PEMBELI TEGAR ONLINE
Sebut sahaja apa yang diinginkan, produk pakaian dan tudung, barangan bayi,
makanan, pakej percutian, barangan elektronik segala-galanya ada. Tidak perlu
bersesak di pusat membeli-belah dan meredah kesesakan di jalan raya, semuanya
boleh dibeli di hujung jari dan akan sampai terus ke tangan pembeli.
Selain mudah dan menjimatkan masa, pengguna juga mempunyai banyak pilihan
untuk "mencuci mata" mencari barangan yang diperlukan dengan lambakan
laman-laman sosial yang digunakan peniaga seperti Facebook, Twitter, Blog,
Instagram mahupun WhatsApp.
"Masalah mencari tempat letak kereta dan kesesakan jalan raya antara sebab
saya lebih suka membeli barang melalui online", menurut Maznah Abu Bakar, 40an
yang juga pembeli tegar di dalam talian.
Beliau, yang bertugas sebagai penjawat awam berkata, kebiasaannya beliau
hanya ke kedai untuk membeli barangan dapur manakala untuk produk lain, lebih
selesa membeli melalui online.
"Bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga menjimatkan perbelanjaan kerana
tidak perlu fikir duit minyak, tol mahupun parking. Kalau ke kedai atau pusat
membeli-belah biasanya mesti akan terbeli barang-barang yang tidak diperlukan,
katanya yang turut membuat persiapan hari raya dengan membeli pakaian secara
online.
Ujar Maznah, membeli secara online membuatkan beliau lebih fokus terutama
untuk membuat pilihan terbaik dalam setiap pembelian. Antara perkara yang diberi
keutamaan ialah memilih peniaga yang diyakini dengan mengkaji latar belakang
perniagaan serta barangan yang dijual setelah membaca maklum balas daripada
pembeli lain.
"Selepas melihat barang-barang yang dijual sama ada di blog dan laman
sosial, jika ada yang disukai, saya akan buat perbandingan harga dahulu dan
setelah puas hati baharulah saya membuat transaksi", katanya.
Sejak aktif membeli secara online setahun yang lepas, beliau mengakui tidak
pernah ditipu kecuali pernah merasa tidak puas hati dengan barang yang diterima
kerana tidak mencapai kualiti seperti yang diharapkan.
Bagi mengelakkan kejadian yang sama, beliau lebih berhati-hati ketika
membeli dengan menghubungi peniaga untuk kepastian bagi setiap barangan yang
dipesan.
"Penting untuk pembeli membaca setiap aturan pembelian dan ketahui dahulu
jenis, kualiti dan bahan sesuatu barangan sebelum membuat pengesahan pembelian
dan bayaran", katanya.
KES DI TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA
Walaupun ada segelintir mengambil sikap berhati-hati ketika membeli secara
online, masih ramai dalam kalangan pengguna yang mengambil mudah ketika
berbelanja dek keghairahan mendapatkan sesuatu barang yang diinginkan.
Banyak perkara yang sering terlepas pandang oleh pengguna sehingga menjadi
mangsa penipuan peniaga online.
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) merekodkan 30 kes tuntutan yang
difailkan melibatkan transaksi pembelian secara online dari Januari hingga Mei
tahun ini. Ia menunjukkan peningkatan kerana 61 kes tuntutan difailkan sepanjang
tahun lepas.
Kes-kes yang dilaporkan melibatkan lebih 40 jenis produk dan perkhidmatan
yang antaranya baucar percutian, barangan elektronik, telefon, perkhidmatan
percetakan, pakaian, eksesori wanita, ubat-ubatan dan kereta terpakai.
Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan menjadi tiga negeri tertinggi
merekodkan kes tuntutan yang difailkan berkaitan pembelian dan perkhidmatan
melalui online.
Untuk rekod, sejak 2011 hingga pertengahan tahun ini, sebanyak 137 kes
tuntutan melibatkan pembelian secara online yang dibuat pengguna.
PERATURAN PENIAGA ONLINE
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
menggariskan Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan
Elektronik) yang dikuatkuasakan pada 1 Julai, 2013.
Tujuannya bagi meningkatkan keyakinan pengguna yang menjalankan transaksi
secara online dengan memberi perlindungan yang menyeluruh. Namun berapa ramai
peniaga dan pengguna yang mengetahui perkara ini?.
Antara peraturan yang diwajibkan kepada peniaga, mereka perlu mendedahkan
maklumat pada tapak web di mana perniagaan dijalankan iaitu nama peniaga online,
nombor pendaftaran perniagaan dan syarikat dan alamat e-mel, nombor telefon atau
alamat penjual online.
Harus memaklumkan ciri utama barang dan perkhidmatan, harga penuh termasuk
kos pengangkutan, cukai dan kos lain, kaedah pembayaran, terma dan syarat serta
anggaran masa penghantaran kepada pembeli.
Peniaga juga harus menyediakan ruang untuk pembeli membetulkan sebarang
kesilapan sebelum mengesahkan pesanan dan segera memaklumkan kepada pembeli
setelah menerima pesanan.
Di bawah peraturan-peraturan itu, sekiranya peniaga gagal mematuhinya, denda
maksimum sebanyak RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya
boleh dikenakan bagi individu dan denda maksimum sebanyak RM100,000 bagi
pertubuhan perbadanan.
Untuk kesalahan kedua dan berikutnya, denda maksimum RM100,000 atau penjara
tidak lebih lima tahun boleh dikenakan atau kedua-duanya untuk individu ,
manakala bagi pertubuhan perbadanan denda maksimum ialah RM200,000.
PANDUAN PENGGUNA
Pengguna sendiri harus memainkan peranan masing-masing bagi mengelak
daripada menjadi mangsa penipuan antaranya tidak terburu-buru membuat pembelian
dan harus memastikan peniaga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia
(SSM).
Sehingga kini, sebanyak 616 syarikat dan 19,198 peniaga yang menjalankan
aktiviti atau perniagaan melalui internet berdaftar dengan SSM.
Beberapa panduan juga boleh diambil pengguna sebelum menjalankan transaksi
melalui online yang disarankan KPDNKK bagi mengelak menjadi mangsa penipuan
dengan:
1)Buat perbandingan harga terlebih dahulu dan peka dengan harga pasaran
serta jangan mudah terpedaya dengan penawaran harga murah.
2)Semak latar belakang syarikat atau perniagaan di Malaysia yang menawarkan
produk di internet dengan membuat pengesahan alamat pernigaan dan lesen
perniagaan dengan (SSM) bagi mengesahkan ketulenan perniagaan.
3) Untuk lebih kepastian, buat kajian dengan membaca maklum balas yang
dibuat oleh orang yang pernah membeli barang daripada syarikat atau individu
yang sama bagi mendapatkan idea terbaik.
4)Lakukan transaksi hanya melalui laman web yang selamat dan boleh
dipercayai. Seelok-eloknya pastikan pemilik laman web itu memiliki ikon yang
menunjukkan ia mengambil pendekatan program keselamatan tertentu.
5) Sekiranya membeli dari laman web asing atau syarikat luar negara, elok
difikirkan kos dan nilai barangan mengikut matawang tempatan termasuk kos yang
perlu ditanggung untuk proses penghantaran ke rumah kerana kebiasaannya kos
penghantaran lebih mahal daripada yang disangkakan.
6) Dapatkan butiran peribadi penjual dengan menghubungi terlebih dahulu bagi
sahkan barangan yang hendak dibeli termasuk tempoh masa barangan akan sampai.
7) Pastikan kaedah pembayaran yang dilakukan dalam pembelian itu dan elak
daripada mendepositkan wang ke pemegang akaun selain daripada nama penjual.
8)Baca dan fahami terma dan syarat pembelian, sekiranya boleh memulangkan
barang jika tidak berpuas hati terutama produk berbeza yang dihantar ke rumah
anda.
9) Cetak resit atau bukti pembayaran untuk disimpan sehingga produk yang
dibeli sampai ke tangan anda.
-- BERNAMA