Misi Op Cantas Khas diteruskan Di Selangor
PETALING JAYA, 6 Sept – Seramai 20 lelaki termasuk warga asing ditahan dalam Ops Cantas Khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor awal pagi tadi.
Operasi yang bermula sekitar jam 12 tengah malam dan berakhir pada 6 pagi itu lebih tertumpu di kawasan flat Desa Mentari dan Desa Ria, Petaling Jaya, Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, SAC Mohd Adnan bin Abdullah berkata operasi tersebut lebih mensasarkan individu-individu yang disyaki terlibat dalam kongsi gelap yang berkeliaran dikawasan ini dan kawasan ini turut menjadi tumpuan orang ramai.
‘Dalam operasi ini pihak polis turut menahan beberapa individu yang memiliki tatu kongsi gelap dan mereka yang terlibat dengan dadah’, katanya lagi.
Operasi tersebut turut disertai oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang lengkap bersenjata M-16 dan trafik yang membantu membuat pemeriksaan terhadap kenderaan yang lalu-lalang dikawasan berkenaan.
Daripada jumlah tersebut hanya tujuh orang telah ditahan dalam pelbagai kesalahan antaranya dibawah Akta Pertubuhan Haram, dadah dan Imigresen. Selebihnya di bebaskan selepas dijalankan dokumentasi.
Usaha Op Cantas Khas ini akan diteruskan sehingga mencapai matlamat dimana individu-individu yang disenaraikan pihak polis berjaya ditahan dan diambil tindakan lanjut.






