STR Fasa 2: RM1.7 bilion mula disalur Isnin
Astro Awani
21/03/2025

Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 akan mula disalurkan Isnin depan, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 akan mula disalurkan Isnin depan, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion kepada hampir sembilan juta penerima yang layak.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jumlah tersebut meningkat berbanding RM1.5 bilion pada tahun lalu, dengan 60 peratus rakyat dewasa Malaysia bakal menerima bantuan sehingga RM650.
Beliau menjelaskan, penerima sedia ada dan baharu yang berdaftar dalam pangkalan data rasmi akan menerima pembayaran sama ada melalui akaun bank atau tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), bergantung pada kategori kelayakan masing-masing.
“Kerajaan kekal peka terhadap keperluan rakyat, terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan bahawa peningkatan peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2025, yang kini mencecah RM13 bilion, adalah usaha berterusan kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh.