Translate

14 October 2024

Skandal pasir: Dua lagi 'safe house' digeledah, lebih RM300,000 ditemui - SPRM



Skandal pasir: Dua lagi 'safe house' digeledah, lebih RM300,000 ditemui - SPRM

Astro Awani

14/10/2024


Azam (foto) berkata seramai empat individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita. -Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR: Dua lagi tempat yang dipercayai dijadikan 'safe house' oleh seorang ahli politik ternama digeledah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam tadi.

SPRM menggeledah dua lagi 'safe house' milik seorang ahli politik ternama dan menemui wang tunai lebih RM300,000, termasuk S$74,000 (RM243,000) dan RM78,000 di dua lokasi berbeza.

Empat individu ditahan untuk membantu siasatan, termasuk ahli perniagaan, bekas kakitangan MBI Selangor, seorang pemandu, dan bekas pegawai kewangan syarikat konsesi lombong pasir.

Kes disiasat di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001, dengan 15 saksi telah dipanggil. Ahli politik terbabit akan dipanggil setelah bukti mencukupi diperoleh.

Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, dalam operasi tersebut, pihaknya menemui wang tunai berjumlah lebih RM300,000.

"Pegawai saya telah menggeledah. Ada tambahan dua 'safe house' lagi yang dikatakan ada tersimpan wang.

"Saya boleh umumkan... salah satu daripadanya ada penemuan lebih kurang dalam S$74,000, lebih kurang duit kita RM243,000.

"Kemudian di satu tempat pejabat dijumpai wang lebih kurang lebih pada RM78,000," katanya ketika ditemui media selepas program Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2024 di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Azam menjelaskan, seramai empat individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita.

Mereka yang ditahan ialah ahli perniagaan, bekas kakitangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), seorang pemandu, serta bekas pegawai kewangan syarikat yang mendapat konsesi lombong pasir.

"Suspek pertama ditangkap pada 10 Oktober dan direman sehingga 15 Oktober. Suspek berkaitan dengan seorang pengarah syarikat atau seorang ahli perniagaan.

"Ada seorang pernah bertugas di MBI Selangor, lelaki umur lebih kurang 45 tahun, tetapi kita hanya dapat reman satu malam kerana dia mempunyai masalah kanser prostat.

"Suspek ketiga pemandu berumur 43 tahun. Dia pun direman selama tiga hari dan telah pun dilepaskan.

"Seorang lagi wanita, bekas pegawai kewangan satu syarikat yang dapat konsesi perlombongan pasir berkenaan. Berumur 46 tahun dan telah dilepaskan selepas direman lebih kurang tiga hari," ujar Azam.

Jelas beliau lagi, tiada pendedahan dibuat mengenai ahli politik terbabit tetapi individu itu akan dipanggil bagi membantu siasatan setelah mendapatkan bukti-bukti yang mencukupi.

Dalam pada itu beliau memaklumkan setakat ini, 15 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan kes.

Azam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16, Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED