Translate

23 October 2024

Polis tahan empat lelaki disyaki membunuh



Polis tahan empat lelaki disyaki membunuh

Bernama

23/10/2024


Polis menahan dua lelaki warga asing berusia 28 dan 37 tahun yang merupakan pekerja serta tinggal di rumah kongsi berkenaan, selain menangkap dua warga tempatan berusia 33 dan 44 tahun yang disyaki suspek utama.


IPOH: Polis menahan empat lelaki termasuk dua warga asing kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah rumah kongsi di Bidor, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata kesemua suspek ditahan secara berasingan pada Isnin dan Selasa (semalam) selepas pihaknya menerima laporan pada 4.21 pagi Isnin daripada seorang wanita yang merupakan kakak ipar mangsa.

"Pengadu menyatakan lebih kurang 2.30 pagi semalam, semasa berada di rumah kongsi sebuah kilang, terdengar suaminya bertengkar dengan seorang suspek warga tempatan mengenai mangsa yang berusia 34 tahun mengalami kecederaan dan sesak nafas.

"Suspek terus memukul kepala suami pengadu menggunakan tukul besi sehingga mendapat kecederaan pada bahagian kepala dan seterusnya pengadu bersama suaminya ke Hospital Tapah bagi mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mohd Naim berkata setibanya pengadu dan suaminya di rumah kongsi berkenaan setelah pulang dari hospital mereka mendapati mangsa telah terbaring di luar rumah dalam keadaan tidak bernafas dan disyaki meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, pihaknya menahan dua lelaki warga asing berusia 28 dan 37 tahun yang merupakan pekerja serta tinggal di rumah kongsi berkenaan, selain menangkap dua lagi suspek warga tempatan berusia 33 dan 44 tahun yang disyaki suspek utama.

Menurut Mohd Naim, hasil semakan mendapati kedua-dua lelaki tempatan itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Beliau berkata kedua-dua warga asing direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan permohonan perintah reman terhadap suspek warga tempatan akan dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Tapah.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED