Translate

23 October 2024

Nicol David dilantik sebagai duta pendidikan ITA



Nicol David dilantik sebagai duta pendidikan ITA

Bernama

23/10/2024


Nicol berkata beliau juga mempromosikan nilai-nilai sukan yang baik dan kepentingan persaingan yang adil. - Gambar fail/BERNAMA


KUALA LUMPUR: Legenda skuasy negara Datuk Nicol Ann David dilantik sebagai duta pendidikan Agensi Ujian Antarabangsa (ITA) yang baharu.

Dalam hantaran di platform X semalam, bekas juara dunia itu berkata beliau mempunyai tanggungjawab besar untuk menjadi suri teladan kepada atlet muda di Malaysia dan seluruh dunia.

Nicol berkata beliau juga mempromosikan nilai-nilai sukan yang baik dan kepentingan persaingan yang adil.

"Saya berasa bangga kerana telah bekerja keras untuk setiap kemenangan yang saya lakar sepanjang karier dan saya memberikan yang terbaik pada setiap saat dalam hidup saya.

"Ini semua hasil sumbangan positif ibu bapa yang membimbing saya untuk melayan semua orang, termasuk lawan dengan penuh hormat dan menjadi orang yang baik.

"Saya harap dapat menjadi pengaruh positif kepada lebih ramai atlet dengan mempromosikan persaingan yang adil kepada atlet semasa dan bakal atlet masa depan," katanya.

ITA merupakan organisasi antarabangsa tidak berasaskan keuntungan dengan misi mengurus program antidoping tanpa pengaruh mana-mana badan sukan atau politik untuk Persekutuan Antarabangsa (IF), Organisasi Acara Utama (MEO) dan organisasi lain yang meminta bantuannya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED