Translate

21 October 2024

Istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Arif Bendahara bermula esok



Istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Arif Bendahara bermula esok

Astro Awani

21/10/2024


Istiadat Perkahwinan Tengku Arif Bendahara dan Tengku Natasya dijadual bermula dengan Istiadat Meletak Kerja di pekarangan Istana Abdulaziz di sini pada Selasa. - Gambar/ IG Kesultanan Pahang



KUALA LUMPUR: Istiadat Perkahwinan Putera Diraja, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dijadual bermula dengan Istiadat Meletak Kerja di pekarangan Istana Abdulaziz di sini pada Selasa.

Kesultanan Pahang dalam kenyataannya memaklumkan, 16 das tembakan meriam akan dilepaskan pada hari berkenaan dimulakan dengan bacaan watikah pengisytiharan dan menaikkan bendera Istiadat Meletak Kerja disempurnakan Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Menurut kenyataan itu, tembakan meriam dilepaskan kira-kira jam 9.30 pagi diikuti bacaan doa bagi menyempurnakan istiadat tersebut.

"Pada jam 6.30 petang, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadualkan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah 1 di sini.

"Pasangan Pengantin Diraja bakal dinikahkan sendiri bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor pada Istiadat Akad Nikah di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz jam 8 malam, Khamis ini," jelasnya.

Kenyataan itu turut menyebut, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada Jumaat dan Istiadat Persandingan Diraja pada Ahad ini.

"Semua istiadat akan berlangsung di Istana Abdulaziz bermula jam 8 malam.

"Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan di Dataran Pekan, Pekan," jelasnya.

Menurut kenyataan itu lagi, Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diteruskan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang dengan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja pada Isnin depan juga di Istana Abdulaziz.

Jelasnya, Istiadat Santap Adap-Adapan bermula jam 4 petang dengan Tengku Ampuan Pahang menzahirkan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin.

"Sebaik sahaja Istiadat Nasi Semangat dizahirkan, istiadat diteruskan dengan Istiadat Merenjis dan Istiadat Bersiram.

"Bacaan doa oleh Mufti Pahang, Sahibus Samahan Prof Datuk Asmadi Mohamed Naim dilaksanakan sebelum Istiadat Bersiram dizahirkan diikuti

Majlis Jamuan Teh sebaik sahaja Pasangan Pengantin Diraja selesai Istiadat Bersiram.

"Bagi mengakhiri semua istiadat, Tengku Panglima Raja akan menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bacaan doa," ujarnya.

Sementara itu katanya, pelbagai acara menarik akan diadakan di Dataran MBK dan di Dataran Pekan sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED