Translate

23 October 2024

Op Global: 22 individu termasuk Nasiruddin akan didakwa esok



Op Global: 22 individu termasuk Nasiruddin akan didakwa esok

Astro Awani

22/10/2024


Razarudin berkata, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar


KUALA LUMPUR: Seramai 22 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd, Datuk Nasiruddin Mohd Ali akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang, pada Rabu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

"Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

"Selain Nasiruddin, turut dituduh di bawah seksyen sama adalah isterinya Azura Md Yusof dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi.

“Kita memutuskan demikian selepas kertas siasatan itu dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) petang tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Pada 16 Oktober lalu,Nasiruddin antara 16 individu yang ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily MohdZin sebelum ini berkata, sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu, 58 individu ditahan di bawah SOSMA termasuk 16 orang yang merupakan pengurusan tertinggi GISBH.

Mereka antara 415 individu yang ditahan dalam Op Global hingga fasa keempat

Selain itu, seramai 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED