Translate

23 October 2024

Bekas pegawai kanan kerajaan antara ditahan SPRM, dipercayai terlibat rasuah RM50,000



Bekas pegawai kanan kerajaan antara ditahan SPRM, dipercayai terlibat rasuah RM50,000

Bernama

23/10/2024


Kedua-dua suspek ditahan pada 5 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor. - Foto SPRM


KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan antara dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memberi dan menerima rasuah kira-kira RM50,000 sebagai balasan membantu mendapatkan projek daripada jabatan tersebut.

Bekas pegawai kanan jabatan kerajaan dan seorang pengarah syarikat ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dalam rasuah kira-kira RM50,000 untuk mendapatkan projek.

Kedua-dua suspek ditahan semalam dan disiasat untuk perbuatan rasuah dari tahun 2021 hingga 2024.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dengan kedua-dua suspek direman enam hari sehingga 28 Oktober.

Sumber SPRM berkata kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan pada 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari 2021 hingga 2024.

"Bekas pegawai kanan tersebut disyaki telah menerima kira-kira RM50,000 tunai secara berperingkat daripada suspek kedua iaitu pengarah sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan tiga projek untuk syarikat berkenaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini

Berikutan itu, beliau berkata kedua-dua suspek direman enam hari hingga 28 Okt selepas permohonan dilakukan SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED