Translate

12 October 2024

Tourism Malaysia lancar jualan tengah malam untuk warga Singapura sempena Deepavali di JB



Tourism Malaysia lancar jualan tengah malam untuk warga Singapura sempena Deepavali di JB

Bernama

12/10/2024


Edisi pertama Jualan Tengah Malam akan berlangsung di Paradigm Mall Johor Bahru dari 30 hingga 31 Okt, diikuti edisi kedua di Mercato Garden Square @ Setia Eco Gardens dari 1 hingga 2 Nov. -- fotoBERNAMA


SINGAPURA: Warga Singapura yang ingin menikmati aktiviti membeli-belah lewat malam sempena musim Deepavali ini boleh merentasi Tambak ke Johor Bahru untuk Jualan Tengah Malam Malaysia dari 30 Okt hingga 2 Nov.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Singapura Mohana Murni Shanmugam berkata acara itu menawarkan tempoh beli-belah yang dilanjutkan hingga tengah malam, di samping hiburan dan tawaran eksklusif di pusat beli-belah berbeza di ibu kota Johor.

"Edisi pertama Jualan Tengah Malam akan berlangsung di Paradigm Mall Johor Bahru dari 30 hingga 31 Okt, diikuti edisi kedua yang menarik di Mercato Garden Square @ Setia Eco Gardens dari 1 hingga 2 Nov," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Mohana berkata agensi itu dengan kerjasama Persatuan Bas Ekspres Lawatan Singapura (EEBA), akan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma berdasarkan prinsip ‘siapa cepat dia dapat’ bagi mereka yang menempah perjalanan melalui WTS Travel semasa Travel Malaysia Fair ke-36 yang sedang berlangsung.

Selain itu, tempahan juga boleh dibuat di cawangan WTS Travel atau melalui talian hotline dan laman web mereka.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata agensi itu teruja untuk bekerjasama dengan EEBA untuk membawa pengalaman membeli-belah yang menarik ini kepada penduduk Singapura, sambil menyatakan acara itu bukan sahaja mempromosikan perniagaan tempatan tetapi juga memperkukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi membeli-belah.

“Kami mengajak semua orang membawa keluarga dan rakan-rakan kerana hadiah istimewa dan kejutan menanti mereka yang turut serta,” katanya.

Pengunjung ke Travel Malaysia Fair ke-36 juga boleh melihat pelbagai produk dan perkhidmatan pelancongan di gerai Tourism Malaysia, termasuk pakej dari Junglewalla Desaru, Hospitality 360, Juara Scuba Academy dan KPJ Healthcare Bhd.

Dianjurkan oleh EEBA, pameran pelancongan itu berlangsung dari 11 hingga 13 Okt di Hall D, Sands Expo and Convention Centre, Singapura, dengan penyertaan lebih 20 syarikat pelancongan.

Sementara itu, dalam acara berasingan di pameran pelancongan, PSHolidays.com Sdn Bhd dari Malaysia dan EU Holidays Pte Limited dari Singapura menandatangani kerjasama untuk menganjurkan dan mempromosikan acara sukan, serta meningkatkan pengalaman pelancongan melalui pakej dan perkhidmatan pelancongan sukan bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor Singapura (JETCO) Saifuddin Abdul Rahim yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu, menyebut bahawa satu daripada inisiatif termasuk mewujudkan pakej pelancongan untuk menonton perlawanan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

“Satu daripada rancangan ialah mencipta pakej pelancongan dua hari satu malam untuk menonton perlawanan Liga Juara-Juara Elit AFC. JDT sebagai contoh, perlawanan seterusnya adalah JDT lwn Ulsan HD FC dari Korea Selatan pada 5 Nov.

“Jadi, selain warga Singapura yang meminati bola sepak, kami juga ingin menarik minat ekspatriat Korea Selatan di Singapura,” katanya.

Pengurus pembangunan perniagaan EU Holidays, Richard Lim berkata pakej itu bukan sahaja akan menarik minat peminat bola sepak tetapi juga kepada orang lain.

“Ia bukan sekadar untuk menonton perlawanan bola sepak. Kami juga akan memasukkan lawatan ke pelbagai kawasan di Johor. JDT juga menawarkan lawatan stadium dan sesi lawatan sekitarnya. Ini adalah sesuatu yang baharu dan menarik, walaupun bagi mereka yang bukan peminat sukan,” katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED