Translate

23 October 2024

SOJC: Malaysia tewas 2-4 kepada India



SOJC: Malaysia tewas 2-4 kepada India

Bernama

23/10/2024


Pemain Malaysia Adam Ashraf (kiri) diasak oleh pemain India Yadav Chandan (kanan) pada Perlawanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, semalam. --fotoBERNAMA



JOHOR BAHRU: Impian skuad remaja kebangsaan untuk meraih kemenangan pertama pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) berkubur, selepas tewas 2-4 kepada India pada aksi ketiga di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, malam tadi.

Kekalahan tersebut menjadi kekalahan ketiga berturut-turut selepas tewas 1-4 kepada Jepun pada aksi kedua pada Ahad dan tewas 2-3 kepada New Zealand pada aksi pertama Sabtu lepas.

Suku pertama malam tadi menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan dan skuad Young Tigers berjaya memecah kebuntuan apabila berjaya meraih gol pertama pada minit kelapan menerusi gol padang oleh Muhammad Danish Aiman.

Selang seminit, anak didik I.Vikneswaran terus mencipta jurang apabila memperoleh gol kedua menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke sembilan oleh Harris Osman.

Bagaimanapun pasukan India tidak menunggu lama untuk mengejar, apabila berjaya memperoleh gol pertama mereka pada minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti oleh Sharda Nand Tiwari.

Selang empat minit (minit ke -13), India menyamakan kedudukan apabila Singh Arshdeep menjaringkan gol menerusi gol padang.

Suku ketiga menyaksikan Taleem Priyobarta berjaya meletakkan India di depan menerusi gol padang pada minit ke-39.

Pasukan India terus melancarkan serangan dan membolosi kubu pertahanan pada minit ke-40 apabila pukulan sudut penalti berjaya disempurnakan pemain berjersey nombor 23, Rohit.

Terdahulu, perlawanan sebelah petang semalam menyaksikan Australia menewaskan Jepun 5-1 manakala New Zealand seri dengan Great Britain 1-1.

Perlawanan seterusnya yang akan berlangsung hari ini menyaksikan skuad Malaysia akan menentang Great Britain, sementara India bakal berdepan Australia dan New Zealand akan bertemu Jepun.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED