Translate

06 October 2024

Polis menjalankan siasatan kejadian buli membabitkan anak Tam Spider

 Polis siasat dakwaan buli di sekolah berasrama penuh di KL

Bernama

05/10/2024 

Polis siasat dakwaan buli di sekolah berasrama penuh di KL


KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku kejadian buli membabitkan anak seorang penyanyi dan beberapa individu lain di sebuah sekolah berasrama penuh di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata setakat ini pihaknya menerima lima laporan berhubung isu terbabit.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kita sudah merakam keterangan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.



Media hari ini melaporkan seorang penyanyi berumur 51 tahun mendedahkan anak lelakinya berusia 14 tahun dibuli dan kesal dengan tindakan pihak sekolah yang didakwa bukan sahaja tidak peka, malah tiada tindakan terhadap masalah buli di sekolah berkenaan.

Selain itu, terdapat ibu bapa lain di sekolah sama mendedahkan anak mereka dibuli enam pelajar di institusi terbabit sejak akhir tahun lepas hingga kini.

-- BERNAMA


Anak Tam Spider jadi mangsa buli: Ibu bapa desak 6 pembuli dibuang sekolah

HARIAN METRO

Kuala Lumpur: Selepas penyanyi kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau lebih dikenali sebagai Tam mendedahkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun menjadi mangsa buli, beberapa ibu bapa di sekolah sama tampil mendedahkan perkara serupa.


Salah seorang ibu, Sharifah Intan Nor Jahin, 44, berkata, pihaknya menggesa agar enam orang yang disyaki pembuli itu diambil tindakan dengan buang sekolah.


"Sepatutnya pembuli ini sudah dibuang sekolah. Ini disebabkan yang pembuli (tingkatan lima sekarang) akan membuatkan tingkatan empat (yang ada kini) apabila mereka naik tingkatan lima akan jadi pembuli juga.


"Kitaran buli ini tak akan habis," katanya kepada Harian Metro.


Difahamkan satu perjumpaan sudah diatur membabitkan pihak sekolah bersama ibu bapa atau penjaga tingkatan dua pagi ini.


Dalam perjumpaan itu, satu tindakan dicapai membabitkan pihak sekolah dan ibu bapa pelajar tingkatan dua.


Mengulas lanjut, Sharifah Intan yang juga suri rumah berkata, anaknya yang kini di tingkatan dua dibuli tiga kali sejak akhir tahun lalu hingga kini.


Dakwanya, anaknya itu dipukul di perut, dada dan leher oleh pembuli dan beberapa laporan polis dibuat olehnya bersama suami.


Seorang bapa, Mohamad Faisal Mohd Aziz, 46, berkata, dia mengetahui anaknya dibuli oleh pelajar tingkatan lima pada tahun ini.


"Kami dapat tahu tahun ini. Anak saya kena pukul secara berjemaah (oleh pembuli)," katanya.


Dia yang juga seorang pemuzik berkata, disebabkan itu pihaknya menggesa agar pihak sekolah membuang pembuli itu.


"Di tempat kerja pun kita dibuli. Buli ini di mana-mana. Tapi kalau dah buli membabitkan kaki, tangan, bagi saya tak patut. Itu sudah lain. Itu bukan buli.


"Bukan kita nak manjakan anak kita, kalau betul anak kita salah, buat (tindakan). Kita bukan jenis ibu bapa yang anak kena rotan serang sekolah. Tidak.


"Kalau betul itu kesalahan anak kita, buat (tindakan)," katanya yang turut membuat satu laporan polis.


Seorang lagi bapa yang juga pelakon, Khir Rahman, 51, berkata, pihak sekolah sewajarnya mengambil tindakan serta-merta apabila adanya kejadian buli.


Dia turut mempersoalkan mengapa pihak sekolah sukar mengambil tindakan terhadap pembuli selepas adanya laporan polis dibuat oleh ibu bapa pelajar.


"Kenapa laporan polis itu menjadikan susah pula diambil tindakan. Sebenarnya bila buat laporan polis itu tindakan jadi mudah (dan) lebih membantu.


"Kenapa bila sudah jadi kes polis, sekolah tidak boleh ambil tindakan? Patutnya ambil tindakan serta-merta. Saya pun tak tahu siapa menyalahkan sistem siapa," katanya.


Dia turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan anaknya susulan kejadian buli itu.


"Yang enam orang membuli ini jelas, terbukti dan bersaksi, dia salah kena bawa keluar, buang sekolah. Buang sekolah maksudnya bukan terus buang.


"Mungkin ada satu proses macam mana nak hukum seperti dua tiga bulan tak boleh duduk asrama. Dia kena tahu akibat," katanya.



Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED