Translate

03 October 2024

Permohonan visa pelajar antarabangsa turun mendadak susulan tindakan Australia kawal migrasi



Permohonan visa pelajar antarabangsa turun mendadak susulan tindakan Australia kawal migrasi

Bernama

03/10/2024


Sebanyak 15,270 permohonan visa pelajar antarabangsa dari luar negara diterima pada Ogos, berbanding 30,703 pada Ogos 2023. - Gambar hiasan/Freepik

CANBERRA: Jumlah permohonan visa oleh pelajar antarabangsa untuk belajar di Australia menurun kepada separuh selepas kerajaan mengambil langkah tegas untuk mengurangkan kemasukan migran, lapor Xinhua.

Menurut angka Jabatan Pendidikan yang diterbitkan oleh akhbar Nine Entertainment pada Khamis, sebanyak 15,270 permohonan visa pelajar antarabangsa dari luar negara diterima pada Ogos, berbanding 30,703 pada Ogos 2023.

Pada Julai, seramai 18,697 pelajar luar negara memohon visa untuk belajar di Australia, berbanding 36,207 pada bulan yang sama pada 2023.

Penurunan ini berlaku selepas kerajaan menggandakan yuran permohonan visa pelajar antarabangsa dari A$710 (AS$487.4) kepada A$1,600 (AS$1,098.4) mulai 1 Julai.

Pada Ogos, kerajaan mengumumkan had baharu bagi pendaftaran pelajar antarabangsa di universiti dan penyedia pendidikan vokasional kepada 270,000 pelajar menjelang 2025, sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas untuk mengurangkan jumlah migran di Australia.

Data terkini menunjukkan bahawa permohonan visa dari India, iaitu negara sumber kedua terbesar pelajar antarabangsa di Australia merosot sebanyak 66.4 peratus berbanding 13,047 pada Julai dan Ogos 2023 kepada 4,383 dalam tempoh yang sama pada 2024.

Permohonan dari Filipina menurun dari 5,126 kepada 849, manakala Pakistan menurun dari 4,234 kepada 616.

Permohonan visa dari China, iaitu negara sumber terbesar pelajar antarabangsa di Australia menyaksikan penurunan kurang daripada 10 peratus antara 2023 dan 2024.

Badan utama universiti, Universities Australia pada Ogos lalu memberi amaran bahawa had pelajar yang dicadangkan oleh kerajaan akan menyebabkan kerugian berbilion dolar kepada ekonomi negara dan mengakibatkan ribuan hilang pekerjaan dalam industri pendidikan tinggi.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED