Translate

03 October 2024

Muhyiddin gagal dapat pasport bercuti ke Uzbekistan, sambut ulang tahun perkahwinan



Muhyiddin gagal dapat pasport bercuti ke Uzbekistan, sambut ulang tahun perkahwinan

Bernama

03/10/2024


Pada 11 Sept, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhyiddin bagi menyemak keputusan mahkamah itu sebelum ini, yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini gagal mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara untuk bercuti dan menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-52 bersama isteri di Uzbekistan.

Permohonan Pasport Ditolak: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mendapatkan pasport antarabangsanya untuk bercuti dan menyambut ulang tahun perkahwinan di Uzbekistan kerana alasan yang dikemukakan dianggap tidak munasabah oleh mahkamah.

Alasan Tidak Diterima: Mahkamah menolak permohonan tersebut kerana Muhyiddin masih boleh bercuti dan meraikan sambutan di dalam negara, dan alasan untuk bercuti ke luar negara dianggap remeh oleh pihak pendakwaan.

Pertuduhan Serius: Muhyiddin menghadapi beberapa pertuduhan serius termasuk salah guna kuasa dan menerima wang hasil daripada aktiviti haram, yang menyebabkan mahkamah mempertimbangkan risiko beliau melarikan diri.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menolak permohonan Muhyiddin selepas mendapati alasan yang dikemukakan pemohon adalah tidak munasabah.

"Pemohon masih mempunyai peluang untuk bercuti dan meraikan apa-apa sambutan, tetapi bukan di luar negara. Mahkamah mendapati permohonan pemohon tidak wajar dibenarkan kerana beliau masih boleh menjalani kehidupan atau melaksanakan tanggungjawanya seperti biasa," kata hakim itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noralis Mat berkata pihak pendakwaan membantah permohonan Muhyiddin dan menyifatkan alasan dikemukakan Ahli Parlimen Pagoh untuk bercuti ke luar negara dan menyambut ulang tahun perkahwinan ke-52 adalah remeh.

"Tertuduh (Muhyiddin) perlu mempunyai alasan munasabah, mendesak dan kritikal. Alasan untuk bercuti ke luar negara kerana tertekan dengan pertuduhan di mahkamah terutama pertuduhan di bawah Akta Hasutan adalah sangat remeh.

"Sambutan ulang tahun perkahwinan dan percutian boleh diadakan di Malaysia. Selain itu, mahkamah juga perlu pertimbangkan keseriusan pertuduhan dihadapi pemohon serta risiko 'flight risk' (larikan diri)," kata Noralis yang turut mengendalikan kes bersama TPR Zander Lim Wai Keong.




Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED