Translate

14 October 2024

Lelaki ada kaitan dengan GISB didakwa lakukan amang seksual kanak-kanak



Lelaki ada kaitan dengan GISB didakwa lakukan amang seksual kanak-kanak

Astro Awani

14/10/2024


Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Isnin. - Astro AWANI


BUTTERWORTH: Seorang pemuda yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services And Business (GISB) Holdings mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Miqdam Muhammad Amir, 24, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, yang bertugas sebagai seorang warden asrama dan mempunyai hubungan amanah terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun ketika itu, telah melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian kemaluan mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah, Jalan Bagan Buaya, Nibong Tebal jam 12 tengah malam pada 11 Julai 2022.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan- kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang mana jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Wan Amira tidak menawarkan jaminan atas faktor kesalahan serius iaitu seksual dan mangsa juga merupakan seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, semasa rayuan, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain memohon mahkamah memberikan jaminan paling minima kerana tertuduh, yang bekerja sebagai penghantar barang, tidak mempunyai pendapatan tetap, selain perlu menyara ibu bapanya.

Hakim Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta melapor diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak boleh mendekat serta mengganggu mangsa dan pengadu sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 14 November depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pada 21 September lepas, empat premis milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini diserbu dalam operasi bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa.

Antara lokasi terbabit dalam serbuan itu ialah di Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah, Bagan Buaya,Changkat Nibong Tebal, Pusat Jagaan Kanak-kanak Rumah Permata Kasih Taman Seri Mengkuang, Kubang Semang;Kedai Kek Dan Roti Ikhwan Bandar PERDA dan Ikhwan BP Mart, Bandar PERDA, Bukit Mertajam.

Dalam serbuan itu, sebanyak enam buku atau kitab yang disyaki berkaitan dengan gerakan Al-Arqam dan diharamkan sudah dirampas pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED