Translate

09 October 2024



Kerajaan guna pakai keupayaan GLIC sedia kembangkan ekonomi - Amir Hamzah

Astro Awani

08/10/2024


Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berucap pada Majlis Penutupan Forum Khazanah Megatrends 2024 hari ini. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengguna pakai kepakaran dan keupayaan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memangkin pertumbuhan ekonomi negara di bawah visi Ekonomi MADANI.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizah berkata, dengan aset bernilai RM1.8 trilion, GLIC kini menjadi perantara modal terbesar di Malaysia.

"[Keputusan GLIC] untuk melabur RM120 bilion ke dalam pasaran domestik dalam lima tahun akan datang menjadi pemangkin pembangunan sektor-sektor ekonomi yang disasarkan," katanya.

"Pelaburan ini bukan semberono, tetapi tertumpu kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, peralihan tenaga dan pembuatan peringkat tinggi.

"Kesemua ini adalah sektor yang akan membantu membina ekosistem ekonomi baharu dan memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih kukuh dan berdaya tahan," tambahnya.

Justeru katanya, kerajaan telah merangka beberapa inisiatif seperti Government-Linked Entities Activation and Reform Programme (GEAR-uP), yang mengguna pakai keupayaan kewangan dan kepakaran GLIC untuk menjuarai beberapa sektor yang akan menjadi tunjung kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ini termasuk sektor-sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor.

"Malaysia berada di detik yang penting dalam rantaian bekalan global industri (semikonduktor), kita bersedia untuk merebut peluang pertumbuhan di sebalik pelbagai perubahan geopolitik.

Amir Hamzah turut memuji tindakan proaktif GLIC dalam menjuarai beberapa inisiatif berorientasikan rakyat, termasuk meningkatkan gaji minimum pekerja kepada RM3,100 sebulan.

"Gaji yang munasabah amat penting untuk merapatkan jurang sosioekonomi dan memastikan rakyat boleh terus menyumbang secara bermakna kepada ekonomi," katanya.

Tambahnya, kerajaan akan terus meminta GLIC menumpukan pelaburan mereka ke sektor domestik, bagi mencapai pertumbuhan mampan dan saksama yang memanfaatkan semua lapisan masyarakat.

"Dengan cara ini, GLIC akan menjadi pemangkin kepada segala kemungkinan, dan dengan kerjasama lebih erat, kita akan mencapai pertumbuhan yang mampan dan inklusif yang kita impikan untuk masa depan negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Khazanah Megatrends Forum 2024 di sini, hari ini.

Forum dua hari itu menghimpunkan penggubal dasar, pemain industri dan pakar, bertujuan menyediakan platform dialog berkenaan solusi kepada cabaran sosioekonomi negara.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED