Isteri Sabari mahu tindakan undang-undang setimpal terhadap suspek
Adie Sufian Zulkefli
01/10/2024
Subhiah Roslina Shahibi tidak pernah terfikir orang lain akan melakukan kejahatan sekejam yang dilakukan suspek terhadap suaminya. - Astro AWANI
KUBANG PASU: Isteri kepada kepada pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62, yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kampung Empa, di sini selepas dilaporkan hilang sejak 4 September lalu mahu tindakan undang-undang setimpal dikenakan terhadap suspek.
Subhiah Roslina Shahibi, 57, berkata, suaminya seorang yang baik dan tidak pernah terfikir orang lain akan melakukan kejahatan sekejam dilakukan suspek.
"Tergamak mereka (suspek) lakukan kekejaman terhadap suami saya, kering betul hati mereka ini.
“Saya mahukan tindakan sewajarnya dikenakan terhadap suspek kerana perbuatan mereka sukar diterima,” katanya ketika ditemui di lokasi kedua pencarian Sabari di Sungai Padang Terap, di Kampung Lubuk Batu, Jalan Wang Tepus, di sini pada Selasa.
Katanya, dia dan suaminya adalah pasangan jarak jauh (PJJ) kerana dia bekerja di Ibu Pejabat Felcra di Kuala Lumpur dan hanya bertemu jika suaminya berkelapangan.
"Yang paling saya rindu adalah ketika dia datang ke Kuala Lumpur, dia memang rajin mengemas rumah dan bila dia tak ada ni, saya mula teringatkan dia, rasa rindu.
"Suami saya memang suka memasak dan masakan yang dia gemar masak ialah kari. Lepas ni saya akan merindui masakannya," katanya.
Dalam pada itu, Subhiah berkata, suaminya disifatkan sebagai seorang individu yang sangat baik dan dikenali sebagai 'ahli surau'.
Katanya, dia telah mengambil cuti dan sepanjang tempoh itu dia akan sentiasa di berada di lokasi pencarian untuk mengikuti perkembangan operasi pencarian suaminya.
Menurut Shubiah, dia menerima ketentuan Ilahi dan mereka sekeluarga akan terus usahakan solat hajat kerana telah menemui jawapan berkaitan suaminya yang berakhir begini.
Semalam, polis mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh dilaporkan turut mengesahkan penahanan dua suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun, Jumaat lalu.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, Sabari hilang pada 4 September lalu dari rumahnya di Kuala Pegang, Baling sebelum anak-anak mangsa membuat laporan polis.
Bagaimanapun, penemuan sebuah Proton Waja milik Sabari yang ditemui musnah terbakar di Belantik, Sik menimbulkan persoalan kerana dia tiada di lokasi.