Aktres senior Indonesia, Marissa Haque, meninggal dunia
Agensi
02/10/2024 19:37 MYT
Semasa hayatnya, Marissa juga menceburkan diri dalam bidang politik pada tahun 2004, melalui Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) di Jawa Barat. - static.promediateknologi.id
PELAKON senior Indonesia yang pernah mendaki puncak populariti sekitar tahun 80-an, Marissa Haque, meninggal dunia pada sekitar jam 2 pagi Rabu, lapor portal Kompas.com.
Aktres berdarah kacukan Madura, Belanda, Pakistan dan Perancis itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 61 tahun.
Selebriti yang memulakan awal karier dengan membintangi filem Tinggal Landas Buat Kekasih itu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di bilik tidur kediamannya, oleh suaminya, aktor Ikang Fawzi.
"Dia meninggal di kamar tidurnya. Tidak ada apa-apa. Di kamar tidurnya saja... sudah (sampai) ajal. Suaminya yang tahu. (Marissa) Sudah dalam keadaaan tidak bergerak.
"Tidak sesak nafas, (namun) sudah tidak bergerak. Kalau ditanya ada penyakit apa, tidak ada penyakit apa-apa. Keadaan baik-baik saja semuanya," ujar adik kepada Marissa, Soraya Haque, seperti yang dipetik dalam laporan media tempatan saat ditemui di tempat pengurusan jenazah.
Sebelum itu, jasad Marissa sempat digegaskan ke hospital untuk pemeriksaan, namun kemudian pihak hospital mengesahkan kematiannya.
Soraya dan keluarga bagaimanapun reda dengan pemergian kakaknya itu dan menyifatkannya sebagai ketentuan Ilahi.
Sementara itu, anak perempuan Marissa, Marsha Chikita, sempat mengungkap khabar duka itu dan bercakap tentang permintaan terakhir ibunya menerusi satu hantaran melalui Instagram Stories.
"Telah berpulang ke rahmatullah ibu Marissa, ibu saya," tulisnya yang mesra dengan panggilan Chiki.
Dia turut memberitahu, ibunya sebelum ini pernah menyebut tentang tempat pengebumian yang menjadi hajatnya iaitu di Taman Pemakaman Umum Tanah Kusir di Jakarta Selatan, selain meminta pengikutnya di Instagram membantunya dengan maklumat untuk menjalankan proses itu.
Marissa mengahwini Ikang Fawzi pada Julai 1986. Mereka kali pertama berkenalan ketika sama-sama membintangi filem Tinggal Landas Buat Kekasih (1984), yang diarahkan oleh Sophan Sophiaan. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua anak perempuan, Marsha Chikita Fawzi dan Isabella Muliawati Fawzi.
Marissa juga menceburkan diri dalam bidang politik pada tahun 2004, melalui Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) di Jawa Barat, sehingga membawanya ke dalam Majlis Perwakilan Rakyat.