Insiden tiga kanak-kanak lemas: Keluarga reda dengan pemergian mereka
09/10/2021 06:02 PM
SETIU, 9 Okt -- Kehilangan anak perempuan tunggal dalam insiden tragis amat sukar untuk dihadapi apatah lagi kerenah dan keceriaannya menjadi penghibur buat seluruh ahli keluarga.
Namun hakikat itulah yang terpaksa ditelan oleh Che Mohd Humaizi Che Jemani, 38, apabila permata hatinya, Nurulhasha Humaira, 11, ditemukan lemas bersama dua lagi sepupu mangsa di muara sungai Kampung Mangkuk di sini pagi tadi.
Che Mohd Humaizi, yang reda dengan kejadian itu, berkata Nurulhasha Humaira adalah seorang anak yang sangat baik, periang dan sentiasa mengambil berat tentang tiga adiknya.
"Kami telah pergi ke muara sungai itu minggu lepas dan anak saya sangat gembira dapat berkelah serta mencari kepah. Oleh itu, dia berhasrat mahu datang lagi ke lokasi itu bersama sepupunya yang lain.
"Saya terus bincang dengan adik-beradik isteri dan mereka juga setuju untuk ke lokasi tersebut pagi semalam. Namun tak diduga, itulah kegembiraan terakhir buat kami semua," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Setiu hari ini.
Dalam insiden pada 5.30 petang semalam, enam kanak-kanak yang sedang mencari kepah bersama keluarga hilang dihanyutkan arus akibat air pasang berlaku dengan cepat dan hanya tiga daripada mereka berjaya diselamatkan manakala tiga lagi ditemukan lemas awal pagi ini.
Mayat pertama, Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemukan pasukan penyelamat pada 1.08 pagi pada jarak 800 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang manakala mayat kedua yang ditemukan pada 1.47 pagi ialah adik Nur Amni Insyirah, Muhammad Aryan Faheem berusia 7 tahun, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mayat pertama.
Mayat Nurulhasha Humaira pula ditemukan pada 8.15 pagi pada jarak lima meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.
Nurulhasha Humaira adalah murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Kampung Bukit, Kuala Terengganu manakala Nur Amni Insyirah dan adiknya, Muhammad Aryan Faheem adalah murid Tahun Tiga dan Tahun Satu di SK Chabang Tiga, Kuala Terengganu.
Mengimbas semula insiden itu, Che Mohd Humaizi berkata dia menerima panggilan telefon daripada isterinya, Nurulhuda Abd Rahman, 38, yang panik dan cemas setelah menyedari anak sulung serta dua lagi anak saudara mereka gagal diselamatkan.
"Ketika itu, saya sedang memancing bersama kawan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian. Isteri serta adik-beradiknya ada memantau mereka namun kejadian berlaku terlalu cepat… walaupun sedih, kami reda dengan ujian Allah ini.
"Mereka akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu," katanya yang turut berterima kasih kepada pasukan penyelamat dan rakyat Malaysia yang memberi sokongan serta mendoakan mereka.
-- BERNAMA