Translate

09 May 2016

Mat Rempit Merempuh Anggota Polis URB



ANGGOTA POLIS CEDERA DIREMPUH MAT REMPIT

Kemaman 7 Mei – Selang empat hari selepas insiden seorang anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah cedera disimbah cecair putih yang dipercayai asid, seorang lagi anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman me­ngalami nasib sama apabila dirempuh mat rempit dalam kejadian di Kilometer 1 Jalan Chukai-Air Putih, berhampiran Pejabat Veterinar Kemaman, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 pagi itu mangsa, Lans Koperal Mohd. Daud Abd Shukor, 27, dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dikatakan sedang melakukan rondaan bersama dua rakan setugasnya.


Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah motosikal Yamaha.

Katanya, akibat rempuhan itu motosikal anggota berkenaan terbalik dan mangsa yang berasal dari Negeri Sembilan mengalami kecede­raan di bahagian tangan.

“Sewaktu kejadian, mangsa berada di belakang dan sejurus terdengar bunyi kemalangan itu dua rakan setugasnya yang berada di hadapan berpatah balik untuk menyelamatkan mangsa.

“Dia dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan dan sehingga kini masih ditahan di wad,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Said, sejurus merempuh mangsa, penunggang motosikal Yamaha itu melarikan diri namun pihak polis ketika ini sudah mengenal pasti identiti suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, terdapat sekumpulan 50 orang mat rempit dipercayai sedang melakukan aktiviti lumba haram pada masa itu.

Isnin lalu, Lans Koperal Mohd. Haikal Zaharuddin, 27, cedera di­simbah cecair putih yang dipercayai asid oleh penagih dadah ketika mengejar suspek dalam serbuan di sebuah rumah di Kemasik.

Akibat simbahan itu, bapa kepada dua anak itu mengalami kesan terbakar di bahagian telinga kanan, lengan dan tangan kiri sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman dan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pada hari sama.

Sumber: Utusan Online

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED