"Mereka Tidak Akan Terlepas, Tunggu Surat Saman Sampai" - Polis
SEREMBAN: Kesemua pemilik kenderaan yang dikesan menggunakan laluan kecemasan ketika insiden kemalangan di Kilometer 228.6 Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Rembau Ahad lalu tidak akan terlepas dari dikenakan tindakan, lapor Sinar Harian.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Md Dali Wahid berkata, kesemua pesalah trafik yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan di mana semua surat saman akan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
"Saya sangat kesal dengan segelintir pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya dan menggunakan laluan kecemasan dengan sesuka hati.
"Misalnya kes di Kilometer 228.6 tempoh hari, jelas sekali menunjukkan ramai pengguna kenderaan menggunakan lorong kecemasan sehingga menghalang laluan ambulans.
"Ini secara tidak langsung menyukarkan operasi menyelamat, sekali gus memberi kesan kepada mangsa kemalangan yang terlibat," katanya semalam.
Beliau turut menegaskan pihak polis trafik kini sedang giat mengesan pengguna kenderaan yang menggunakan laluan kecemasan tersebut di mana dalam kejadian Ahad lalu, sebuah kemalangan tragis telah mengorbankan nyawa dua beradik.
Kerana sikap pengguna jalanraya memasuki laluan kecemasan, pihak ambulans terpaksa mengambil masa hampir tiga jam untuk tiba di lokasi kemalangan.
Menurut saksi, kedua-dua mangsa kemalangan yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR cedera parah akibat terlanggar sebuah kereta rosak di laluan kecemasan.
Bagaimanapun akibat kelewatan ambulans tiba menyebabkan kedua-dua mangsa lambat dirawat dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ). - Siakapkeli.my