Translate

16 May 2014

Tiga individu termasuk seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor, kini dicari bagi membantu siasatan berhubung tiga kes berasingan membabitkan kes penipuan, pecah amanah dan penggunaan lambang Ahli Diraja Perak

3 individu termasuk pegawai polis diburu

Ipoh: Tiga individu termasuk seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor, kini dicari bagi membantu siasatan berhubung tiga kes berasingan membabitkan kes penipuan, pecah amanah dan penggunaan lambang Ahli Diraja Perak. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak Superintendan Maszely Minhad berkata, ketiga-tiga individu itu dikehendaki polis selepas usaha mengesan dan mencari mereka berdasarkan alamat terakhir gagal.
Menurutnya, bagi kes membabitkan seorang pegawai polis, dia dikehendaki untuk membantu kes pecah amanah yang berlaku pada 2005 membabitkan kes kecurian di rumah seorang mangsa di Kampung Tawas, di sini.
Selepas kes selesai, mangsa meminta semula barangan kemas miliknya dianggarkan bernilai RM40,000 yang dicuri, namun terkejut apabila dimaklumkan semua barang yang dijadikan bahan bukti itu diserahkan kepada pemilik berdasarkan satu surat serah menyerah dan mangsa mendakwa tidak pernah menandatangani surat berkenaan.
Kertas siasatan kes pecah amanah itu kini dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan di mana suspek adalah Cif Inspektor Mohd Yunud Awang, namun suspek masih gagal dikesan hingga kini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Maszely berkata, alamat terakhir suspek adalah di Nombor 383, Taman Dinding Ayer Tawar, Manjung, dekat sini dan polis meminta orang ramai yang mengenalinya supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Zaharah Jaafar di talian 017-3195 672 atau 05-5461 071.
Individu kedua yang dicari Wong Yau Choy, 67, yang dipercayai terbabit dalam kes pemalsuan dokumen pertukaran hak milik sebuah rumah yang dianggarkan bernilai RM650,000 tanpa pengetahuan dan kebenaran pemilik asal.
Alamat terakhir warga emas itu adalah di Nombor 965, Jalan Raja Muda Pasir Pinji, di sini, dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Azlinda di talian 012-2262 105 atau 05-5461 071,” katanya.
Menurutnya, individu terakhir yang dicari adalah Khiu Fu Sang, 33, yang dikehendaki bagi membantu kes penggunaan lambang Ahli Diraja Perak yang kini disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (mencegah penggunaan yang tidak betul), 1966.
Katanya, lelaki terbabit sudah cuba dikesan di empat alamat di Negeri Sembilan, namun masih gagal ditemui dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Suraiya Ahmad di talian 016-9226 256.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED