- Details
- Published on Tuesday, 04 March 2014 09:19
Pengarah dan penerbit tersohor Datuk Yusof Haslam mengakui menitiskan air mata sewaktu menonton 'Konsert Teaterikal Suara Kita' yang membuka tirai pementasannya di Panggung Istana Budaya, pada Isnin (malam tadi).
Konsert tersebut buat pertama kalinya menggabungkan tiga bintang hebat tanah air yang pernah mencetus fenomena dalam industri filem tanah air sekitar 90-an iaitu Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, menerusi filem-filem arahan Yusof sendiri.
Menurut pengarah filem pecah panggung 90-an antaranya seperti 'Sembilu' dan 'Sembilu II' itu juga, beliau bangga melihat ketiga- tiga anak didiknya itu berjaya menghayati watak dan menguasai pentas dengan begitu baik sekali.
"Saya nampak Awie, Erra dan Ziana berjaya menguasai pentas dan menghidupkan watak mereka dengan begitu berkesan di pentas tadi (malam tadi). Tahniah kepada mereka juga kepada pengarah konsert ini, Erma Fatimah.
"Ia satu nostalgia yang cukup bermakna. Sepanjang menyaksikan konsert teaterikal ini, ada beberapa babak yang buat saya menitiskan air mata. Saya terkenangkan perangai Awie, Erra dan Ziana sewaktu di zaman mula-mula saya mengarahkan mereka dalam filem-filem saya dahulu. Teringat kembali gelagat mereka ini.
"Sebenarnya saya terkejut bila daapat tahu mereka bertiga ni nak pentaskan semula filem-filem saya. Saya macam tak percaya mereka ni nak bergabung semula. Tapi bila melihat persembahankan mereka malam ini, saya percaya konsert ini akan medapat kejayaan", kata Yusof Haslam pada sewaktu sidang media yang diadakan sejurus usai pementasan, malam tadi.
Berlangsung selama lebih kurang tiga jam, 'Konsert Teaterikal Suara Kita' berkonsepkan gabungan lakonan dan nyanyian dalam mengimbau kembali episod kegemilangan filem-filem Melayu pecah panggung.
Pementasan arahan sutradara hebat, Erma Fatima ini memanifestasikan semula sorotan babak-babak dari deretan filem-filem seperti 'Sembilu', 'Sembilu 2', 'Tragedi Oktober', 'Maria Mariana 2' dan 'Merah' yang pernah menggegarkan industri filem Malaysia suatu ketika dahulu sebagai teras dan latar penceritaan.
Konsert yang nenelan kos sebanyak RM1.4 juta dipentaskan selama 7 hari (dari 3 hingga 9 Mac) berturut-turut di Istana Budaya. Bagi peminat-pemiat yan masih belum mendapatkan tiket-tiket boleh layari www.ticket2u.biz.
- kredit foto-foto Selebriti online
- mD