Translate

10 October 2024

Taikun India, Ratan Tata meninggal dunia pada usia 86 tahun



Taikun India, Ratan Tata meninggal dunia pada usia 86 tahun

Agensi

10/10/2024


Mendiang Tata merupakan antara pemimpin perniagaan India yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, berkhidmat sebagai pengerusi Kumpulan Tata dari 1991 hingga 2012. - Gambar fail/REUTERS


NEW DELHI: Tokoh korporat ternama India, Ratan Tata menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun malam tadi, kata Kumpulan Tata, konglomerat yang dipimpinnya selama lebih dua dekad.

Tata, yang menerajui Kumpulan Tata sebagai Pengerusi selama 20 tahun, telah menjalani rawatan intensif di sebuah hospital di Mumbai, menurut dua sumber kepada Reuters.

Mendiang Tata, antara pemimpin perniagaan India yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, berkhidmat sebagai pengerusi Kumpulan Tata dari 1991 hingga 2012.

Kumpulan Tata ialah salah satu syarikat terbesar di India, dengan pendapatan tahunan melebihi AS$100 bilion (RM4.3 bilion).

Mengumumkan berita duka itu, Pengerusi Kumpulan Tata menyifatkan mendiang sebagai "pemimpin yang benar-benar luar biasa."

Menurut Natarajan Chandrasekaran: "Bagi pihak seluruh keluarga Tata, saya mengucapkan takziah kepada orang yang tersayang.

"Legasinya akan terus memberi inspirasi kepada kami ketika kami berusaha untuk menegakkan prinsip yang beliau perjuangkan dengan penuh semangat."

Semasa memegang jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Tata, konglomerat itu membuat beberapa pengambilalihan berprofil tinggi, termasuk pengambilalihan pembuat keluli Inggeris-Belanda Corus, jenama kereta Jaguar dan Land Rover yang berpangkalan di United Kingdom dan Tetley, syarikat teh kedua terbesar di dunia.

Profil yang diterbitkan dalam majalah Economist pada 2011 menggelar Tata sebagai "titan", memujinya dengan mengubah kumpulan keluarga menjadi "kuasa global."

"Beliau memiliki kurang daripada 1 peratus daripada kumpulan yang mempunyai nama keluarganya. Tetapi dia adalah seorang raksasa: ahli perniagaan paling berkuasa di India dan salah satu yang paling berpengaruh di dunia," kata majalah itu.

Pada 2012, beliau bersara sebagai Pengerusi kumpulan itu dan dilantik sebagai Pengerusi Emeritus Tata Sons, syarikat induk kumpulan itu.

Perdana Menteri India, Narendra Modi memuji Tata sebagai "pemimpin perniagaan yang berwawasan, berjiwa penyayang dan manusia yang luar biasa."

Dalam hantaran di X, Modi memberi penghormatan kepada Tata dengan mengimbas kembali pengalaman berkongsi "banyak interaksi " dengan mendiang selain "sangat bersedih" dengan kematiannya.

.

Tata dilahirkan dalam sebuah keluarga tradisional Parsi pada 1937.

Beliau melanjutkan pengajian seni bina dan kejuruteraan struktur di Universiti Cornell, Amerika Syarikat.

Pada tahun 1962, beliau menyertai Tata Industries - syarikat pemangkin bagi kumpulan tersebut - sebagai pembantu dan menghabiskan enam bulan menjalani latihan di kilang syarikat di Jamshedpur.

Dari situ, beliau meneruskan kerjayanya di Tata Iron and Steel Company (kini dikenali sebagai Tata Steel), Tata Consultancy Services (TCS), dan National Radio and Electronics (Nelco).

Pada tahun 1991, JRD Tata, yang telah menerajui kumpulan itu selama lebih setengah abad, melantik Ratan Tata sebagai penggantinya.

"Beliau [JRD Tata] adalah mentor terhebat saya... dia seperti bapa dan abang kepada saya - dan tidak cukup diperkatakan tentang itu," kata Tata dalam satu wawancara.

Pada 2008, kerajaan India menganugerahkannya Padma Vibhushan iaitu penghormatan awam kedua tertinggi di negara itu.

Peter Casey, pengarang The Story of Tata, menggambarkan Tata sebagai "lelaki yang sederhana, pendiam dan juga pemalu" serta sangat dan memiliki "disiplin yang luar biasa." - Agensi

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED