Translate

12 October 2024

Syed Yazid presiden baharu KLFA penggal 2024-2028



Syed Yazid presiden baharu KLFA penggal 2024-2028

Bernama

12/10/2024


Syed Yazid (kiri) bersama Timbalannya, Datuk Kamarudin Hassan, pada Majlis Pemilihan Ahli Jawatankuasa KLFA bagi Sesi 2024-2028 yang berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR: Syed Yazid Syed Omar dipilih untuk menerajui Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) selepas memenangi jawatan presiden pada Kongres ke-35 persatuan berkenaan bagi sesi 2024-2028 di sini hari ini.

Syed Yazid yang juga Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meraih 15 undi mengetepikan pesaingnya pemangku Presiden KLFA Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang memperolehi 12 undian pada Pemilihan Ahli Jawatankuasa Persatuan itu.

Bekas Naib Presiden KLFA itu bakal memimpin persatuan berkenaan untuk tempoh empat tahun sehingga 2028.

KLFA sebelum ini dipimpin Khalid Abdul Samad yang melepaskan jawatan itu pada Mac lepas.

Sementara itu, dua jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi Datuk Kamarudin Hassan yang meraih 18 undi, manakala Datuk Sri Wong Yeon Chai memperoleh 15 undi.

Empat jawatan Naib Presiden diisi oleh Datuk Ramlan Askolani (17 undi), Nor Asyikin Jaafar (15) Datuk Sham Shamrat (15) dan Datuk Hisamudin Yahaya (14).

Dalam pada itu, Syed Yazid berkata menyelesaikan tunggakan gaji bakal menjadi keutamaannya sebagai presiden sebaik sahaja memikul tanggungjawab itu bermula hari ini.

"Setakat ini saya perlu tengok dulu segala tunggakan gaji sebab saya tidak tahu lagi berapa jumlah tunggakan gaji dan sebagainya, jadi saya perlu tengok dahulu dokumen yang ada.

"Orang kata memperbaiki balik pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) dari segi pentadbiran dan semestinya kewangan," katanya kepada pemberita selepas Pemilihan Ahli Jawatan Kuasa KLFA di sini hari ini.

Syed pada masa sama turut meminta pemain KL City agar bersabar sementara isu kewangan kelab The City Boys itu diselesaikan.

Berikut ialah senarai Ahli Jawatakuasa baharu KLFA:

1.Muhammad Hanafi Jamalluddin

2.Amir Mahmood Abdul Razak

3.Mohd Zushaidey Zulkifli

4.Mohd Faizul Mohd Nor

5.Mohd Fadil Taib

6.Mohd Ismirul Azlan Ismail

7.Abdullah Izhar Mohamed Yusof

8.Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazali

9.Khairul Azuan Abd Ghani

10.Abdullah Abdul Hamid

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED