Translate

28 October 2024

Polis tahan dua lelaki, rampas 145kg dadah bernilai RM4.18 juta dalam kondominium



Polis tahan dua lelaki, rampas 145kg dadah bernilai RM4.18 juta dalam kondominium

Bernama

28/10/2024


Kok Chin (dua, kanan) menunjukkan barangan rampasan pada sidang media rampasan dadah jenis syabu dan heroin bernilai RM4.18 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dan heroin di sekitar Lembah Klang terbongkar selepas penahanan dua lelaki bersama 145 kilogram (kg) dadah yang dianggarkan bernilai RM4.18 juta di sebuah unit kondominium di Bandar Baru Seri Petaling pada Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata suspek berusia 25 dan 21 tahun itu dipercayai penjaga unit kondominium berkenaan yang dijadikan stor penyimpanan dadah sejak disewa enam bulan lepas.

"Kedua-dua suspek ditahan di hadapan lif kondominium dalam serbuan pada 3.30 petang dan pemeriksaan ke atas mereka telah menemukan bungkusan warna keemasan bertulis 'daguanyin' disyaki berisi syabu dan plastik lutsinar disyaki heroin.

"Pasukan serbuan kemudian membuat pemeriksaan ke sebuah unit kondominium berkenaan dan menjumpai 115 bungkusan warna biru dan keemasan disyaki mengandungi syabu dan 40 bungkusan plastik lutsinar disyaki berisi heroin," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Kok Chin berkata jumlah anggaran berat dadah yang dirampas adalah masing-masing 124kg syabu dan 21kg heroin yang boleh digunakan oleh 728,000 penagih dadah.

"Suspek pertama berusia 25 tahun dipercayai memperoleh upah RM5,000 sebulan sebagai penjaga stor manakala suspek kedua yang juga pembantu menerima upah harian daripada suspek pertama.

"Pasukan serbuan turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi yang disewa oleh suspek bagi tujuan penghantaran dadah kepada pembeli," katanya.

Menurut Kok Chin, modus operandi sindiket berkenaan ialah menyewa unit kondominium sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pembeli.

"Semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, serta didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Khamis lepas hingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis sedang mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED